CYBERJAYA: Baru-baru ini tular satu video lama ceramah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA meluahkan kegusarannya berhubung 22 bulan pentadbiran kerajaan PH.
Video yang asalnya timbul sekitar tahun 2020 itu menunjukkan Dr MAZA mengaku, beliau antara yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) ditukar kerana beberapa isu membabitkan soal ketelusan, rasuah dan sebagainya.
Dr MAZA berkata dalam video itu, beliau pada awalnya percaya ketika pemerintahan PH, DAP tidak akan menyebabkan umat Islam Malaysia merasa tidak selesa dan mengalami keadaan sukar.
“Tetapi saya lihat 22 bulan di dalam keresahan, saban hari, isu berhubung dengan orang islam dan umat Islam, walaupun tidak keluar daripada mulut DAP itu secara terus.
“Tetapi kewujudan DAP, dan saya juga percaya peranan Amanah yang berada dalam kerajaan dan sebahagian PKR, menyebabkan keberanian banyak pihak untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang begitu mengguris perasaan Islam, yang menimbulkan ketegangan antara umat Islam dan selain mereka,” katanya.
Dr MAZA turut menekankan beliau adalah seorang yang sangat terbuka pemikirannya dan mempunyai hubungan baik dengan parti DAP seperti dijemput berucap pada mesyuarat agung DAP dan berbuka puasa bersama-sama pemimpin mereka.
“Pada malam-malam Ramadan, pimpinan-pimpinan DAP datang ke rumah saya, maka saya mempunyai sangkaan yang sangat positif pada DAP. Tetapi apabila 22 bulan, saya melihat kenyataan demi kenyataan, bermula dari Ramasamy dan selainnya, sangat-sangat mengguris perasaan.
“Seolah-olah tidak ada dalam pemikiran mereka ini melainkan agenda untuk menimbulkan ketegangan umat Islam sama ada secara langsung atau pun tidak langsung daripada mulut pemimpin DAP dan rakyat yang menyokong mereka.
“Golongan yang dinamakan liberal melampau itu menjadi-jadi. 22 bulan lamanya kita mendengar hal ini daripada isu-isu biasa sehingga daripada isu bahasa, sehingga isu tulisan jawi yang tidaklah sebenarnya menjadi isu kepada rakyat di negara ini,” katanya lagi.
Susulan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kelihatan ramai penyokong parti PAS menggunakan video lama ceramah Dr MAZA itu sebagai hujah untuk menolak kerajaan PH dalam PRU15.