LONDON: Dua aktivis alam sekitar dari kumpulan ‘Just Stop Oil’ ditahan polis selepas melempar sup tomato pada lukisan Bunga Matahari yang dihasilkan pelukis terkenal, Van Gogh di Galeri Nasional London.
Galeri Nasional London mengesahkan penahanan tersebut dan lukisan tersebut tidak rosak akibat dilitupi dengan permukaan kaca, lapor BBC.
Satu kenyataan daripada Trafalgar Square menjelaskan bahawa dua aktivis tersebut memasuki Bilik 43 di galeri itu sekitar jam 11 pagi pada Jumaat.
“Bilik itu dibersihkan daripada pelawat dan polis dipanggil. Pegawai kini berada di tempat kejadian. Terdapat sedikit kerosakan kecil pada bingkai tetapi lukisan itu tidak rosak,” katanya.
Satu video tular kejadian itu menunjukkan aksi kedua-dua aktivis tersebut membuka tin sup tomato dan membaling isinya pada karya tersebut sebelum melekatkan tangan mereka ke dinding.
“Apa yang lebih bernilai? Seni atau kehidupan? Adakah ia lebih bernilai daripada makanan? Bernilai lebih daripada keadilan? Adakah anda lebih mengambil berat tentang perlindungan lukisan atau perlindungan planet dan manusia kita?” kata aktivis tersebut.
Dia turut merujuk kepada krisis kos sara hidup dan ‘berjuta-juta keluarga yang kesejukan, kelaparan yang tidak mampu untuk memanaskan setin sup’.
Untuk rekod, karya Bunga Matahari tersebut merupakan salah satu daripada tujuh karya Van Gogh pada tahun 1888 dan 89 di mana lima daripada karyanya dipamerkan di galeri dan muzium di seluruh dunia.
Galeri Nasional London juga menggambarkan bahawa lukisan tersebut sebagai ‘antara karya Van Gogh yang paling ikonik dan paling digemari’.