KETUA Pegawai Eksekutif pembuat kereta elektrik Tesla, Elon Musk sah menjadi pemilik baharu aplikasi Twitter selepas melengkapkan pemerolehannya yang bernilai AS$44 bilion pada Khamis, kata sumber dalaman yang mengetahui perkara tersebut.
Menurut laporan media Amerika Syarikat (AS), selepas mengambil alih pemilikan Twitter, Musk telah memecat Ketua Eksekutif Twitter, Parag Agrawal; Ketua Pegawai Kewangan, Ned Segal; dan Ketua Hal Ehwal Undang-Undang dan Dasar, Vijaya Gadde.
Pemecatan itu kerana Musk mendakwa mereka mengelirukannya dan memberikan sedikit penjelasan bagaimana untuk dia mencapai cita-cita tinggi yang telah digariskannya untuk platform media sosial yang berpengaruh itu.
Kata individu terkaya dunia itu, dia mahu menangani akaun ‘bot’ spam di Twitter, membuat algoritma yang menentukan cara kandungan dipersembahkan kepada penggunanya tersedia secara terbuka, serta menghalang platform itu menjadi ruang kebencian dan perpecahan, walaupun dia mengehadkan penapisan.
Menurut sumber dalaman seperti yang dilaporkan media AS, ketika perjanjian pemerolehan Twitter itu diselesaikan, Agrawal dan Segal diiringi keluar dari ibu pejabat Twitter di San Francisco.