ARSENAL mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Southampton yang menyaksikan pendahulu liga itu gagal melebarkan jurang empat mata ke atas pasukan di tangga kedua, Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris, di Stadium St Mary’s, malam tadi.
Arsenal bermula garang di awal permainan hasil jaringan Granit Xhaka di minit ke-11 melalui hantaran Bek Kanan, Ben White.
Pemain tengah dari Switzerland itu meneruskan rentak meledak gol untuk Arsenal setelah menghasilkan jaringan kemenangan ketika menewaskan PSV 1-0 dalam Liga Europa di Stadium Emirates pada Jumaat lalu.
Skuad The Gunners yang dilihat menguasai permainan pada babak pertama dikejutkan jaringan penyamaan Southampton pada minit ke-65 melalui Stuart Armstrong.
Arsenal kini kekal berada di puncak liga kelebihan dengan 28 mata sementara Manchester City terus menghimpit The Gunners dengan 26 mata.
Untuk rekod, keputusan seri dalam perlawanan ini merupakan yang pertama untuk Arsenal pada musim ini setelah meraih empat kemenangan berturut-turut sebelum ini.
Skuad Mikel Arteta akan berdepan PSV Eindhoven sekali lagi dengan bertandang ke Belanda bagi mengharungi perlawanan kelima Liga Europa pada awal pagi Jumaat ini.