JARINGAN penyerang, Darwin Nunez telah meneruskan kebangkitan Liverpool dengan menewaskan West Ham United 1-0, dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, di Anfield, awal pagi tadi.
Kemenangan itu membawa kemenangan ketiga berturut-turut dalam semua kejohanan setelah cemerlang menang besar 7-1 ke atas Rangers dalam Liga Juara-Juara Eropah dan menumbangkan Juara bertahan EPL, Manchester City 1-0 pada hujung minggu lalu.
Gol Liverpool dihasilkan oleh Nunez yang menyudahkan hantaran lintang Kostas Tsimikas dengan tandukan padu di minit ke-23 sekaligus menewaskan penjaga gol West Ham, Lukasz Fabianski.
Nunez hampir menggandakan jaringannya melalui percubaan rembatan pada dua minit kemudian namun hanya sekadar singgah di tiang gol.
Selain Nunez, penjaga gol, Alisson Becker turut beraksi cemerlang menyelamatkan sepakan penalti dari Michael Bowen untuk memastikan Liverpool kekal mendahului di babak pertama.
Liverpool yang turun beraksi tanpa beberapa pemain bintang seperti Diogo Jota dan Luis Diaz akibat kecederaan ternyata lega dengan kemenangan tersebut yang menghidupkan momentum mereka untuk memperbaiki kedudukan dalam liga setelah bermula dengan prestasi kurang memberangsangkan.
Nunez kini dilihat memiliki rentak setelah berpindah ke Liverpool dengan nilai bayaran 64 juta pound sterling dari Benfica dengan rekod lima jaringan setakat ini dalam semua kejohanan dengan tiga gol daripada empat perlawanan.
Kemenangan itu membawa Liverpool menduduki tangga ketujuh dengan 16 mata sementara West Ham di tangga 13 dengan 11 mata.