TOTTENHAM HOTSPURS dikejutkan Newcastle United dengan kekalahan 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, di Stadium Tottenham Hotspurs, London, awal pagi tadi.
Dua gol di babak pertama pasukan pelawat dihasilkan melalui Callum Wilson dan Miguel Almiron dengan meletakkan Newcastle selesa mendahului 2-0.
Penyerang, Harry Kane menjaringkan gol bagi merapatkan jurang di babak kedua namun gagal mendapatkan jaringan bagi mencatatkan keputusan sekurang-kurangnya seri dalam perebutan slot Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.
Kekalahan tersebut merupakan kedua dalam tempoh lima hari selepas kecundang di tangan Manchester United 2-0 Khamis lepas dengan rekod tanpa kalah di halaman sendiri Spurs pada musim ini juga lebur.
Spurs kekal berada di tangga ketiga dalam kedudukan liga manakala Newcastle pula melonjak ke tangga keempat sekaligus memberi amaran kepada kelab-kelab utama bahawa mereka bersedia untuk bersaing bagi merebut slot ke UCL tahun depan.
Sementara itu, pengurus Spurs, Antonio Conte menyalahkan jadual perlawanan yang padat pada bulan ini dalam EPL dan UCL memberi kesan terhadap prestasi anak buahnya.
Mengikut rekod jadual perlawanan setakat ini, Spurs kini sudah mengharungi tujuh daripada 13 perlawanan dalam tempoh 43 hari yang harus diharungi sebelum kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar bermula.
Perlawanan Spurs seterusnya membabitkan kejohanan UCL apabila skuad Antonio Conte akan menerima kunjungan Sporting Lisbon dalam perlawanan kelima pada Khamis ini.