PETALING JAYA: Perjuangan murni seorang wanita ‘besi’, Datuk Faridah Hanim Haron dalam mentransformasi usahawan Melayu kepada jutawan yang dermawan bermula daripada pengalamannya sendiri yang pernah jatuh sebelum berjaya.
Sambil menyelam, minum air, wanita berusia 58 tahun ini memiliki misi membantu golongan asnaf dan fakir miskin menerusi semangat yang ditanam ke atas setiap jiwa usahawan yang dibimbingnya.
“Saya menggilap usahawan di peringkat, ‘growth stage’ mencipta legasi dan pada masa sama, mahu melihat anak didikannya terus membantu anak asnaf.
“Punca kejayaan usahawan adalah daripada sikap membantu orang lain, kerana mereka yang memerlukan ini tentulah sedang kesusahan dan doa orang kesusahan ini lebih ikhlas,” katanya.
Lebih mesra dengan panggilan Ibu Hanim merupakan Presiden syarikat perunding dan latihan pembangunan organisasi serta kepimpinan, Annems Leadership Solution Sdn Bhd (ALS) itu menggunakan peluang meluaskan kepakarannya yang berpengalaman hampir 20 tahun di syarikat Petronas Leadership Centre sebelum ini.
Katanya, usaha itu diterjemah melalui program latihan di bawah syarikatnya, kerana melihat usahawan Melayu hari ini berjiwa dan semangat kental namun tidak mempunyai ilmu untuk terus kekal bertahan dalam bidang perniagaan.
“Dalam dunia korporat, banyak ilmu, dan Ibu banyak mendidik pemimpin tetapi apabila mendalami bidang usahawan, Ibu nampak banyak semangat tetapi mereka tidak ada ilmu berniaga yang sebenar.
“Nak berniaga, ilmu kena ada dulu, jadi bila mereka sertai program Ibu, mereka takkan fikir nak cepat kaya tetapi macam mana nak kekal bertahan sampai bila-bila.
“Allah dah bagi ilmu dan pengalaman pada Ibu, apa salahnya Ibu kayakan usahawan, dan Ibu memang masukkan jarum dalam jiwa mereka untuk menjadi jutawan dermawan lebih baik, bersistem, berstruktur, ada sokongan data,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Malam Aspirasi Pejuang – Perjuangan Demi Cinta, bertemakan seni dan budaya Melayu di sebuah hotel terkemuka di sini.
Pada majlis berkenaan, seramai 121 usahawan peringkat ‘growth stage’ diraikan selepas berjaya melepasi program lima bulan, 16 hari dan sembilan malam.
Mengulas lanjut, Ibu Hanim pernah dikecam kerana menyediakan program latihan terlalu murah kepada dengan menyasarkan saiz kumpulan terlalu kecil seramai 30 usahawan setiap ‘batch’, malah kadang kala memberikan perkhidmatan secara percuma
Bagaimanapun, beliau tidak mempedulikan kata-kata orang kerana tahu apa yang diperjuangkan.
“Perjuangan saya, niat hanya untuk nampak impak (perniagaan kekal bertahan), tak logik rasanya jika sekali program uruskan 200 syarikat dalam satu dewan.
“Ibu rasa, manusia yang paling baik adalah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain, jadi Ibu selalu mengingatkan supaya menjadi kaya adalah memberi nilai pada orang lain,” katanya.
Ikhlas dari hati, beliau hanya mahu melihat usahawan Melayu terus maju dan berjaya dan menasihatkan mereka supaya tidak terlalu cepat membuat penilaian tanpa sokongan data.
“Kita kena pegang balik ekonomi, jangan risau apa yang berlaku. Kita kena cerdik, pandai, kena buat bisnes, kita tolong orang.
“Kita kena kuat dengan ekonomi khususnya bangsa Melayu Islam,” katanya.