HomeBeritaJalan raya Malaysia antara 59 terburuk dunia, paling bahaya

Jalan raya Malaysia antara 59 terburuk dunia, paling bahaya

 

KUALA LUMPUR: Kualiti jalan raya di Malaysia turun lebih 5 peratus dalam tempoh lima tahun lalu, dengan jumlah kematian jalan raya direkod kedua tertinggi dunia, 22.76 bagi setiap 100,000 orang.

Selain Malaysia, Kuwait disenarai negara yang mempunyai jalan raya terburuk dunia diikuti Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand.

Menurut laporan kajian bertajuk ‘Worst and Best Roads – US and International Ranking’ yang dijalankan firma pendidikan pemandu, Zutobi – Malaysia disenarai pada kedudukan ke-12 terbawah dalam kalangan 59 negara yang memiliki jalan raya terburuk.

Menurut kaji selidik itu, selain memiliki jalan terburuk Kuwait juga mempunyai jumlah kematian jalan raya ketiga tertinggi bagi setiap 100,000 orang iaitu hampir 19, lapor Berita Harian hari ini.

Mengulas berhubung jalan raya di Malaysia, analisis tersebut melaporkan skor keselamatan Malaysia pada tahap 3.32 daripada 10 berdasarkan empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya, dan saiz relatif rangkaian jalan raya.

Manakala negara jiran, Singapura pula merekodkan skor keseluruhan tertinggi kualiti jalan raya iaitu 9.44 daripada 10 dan kadar kematian jalan raya paling sedikit iaitu 1.69 bagi setiap 100,000.

Selain Singapura, empat lagi negara yang mencatatkan skor kualiti jalan raya paling tinggi ialah Belanda dengan 8.62 daripada 10, diikuti Switzerland (8.58 peratus), Japan (8.41) dan Denmark (7.59).

Laporan Zutobi berasingan yang diterbitkan pada Mei meletakkan Malaysia antara 10 negara paling berbahaya untuk memandu bersama Thailand, India, Argentina, AS dan Afrika Selatan.

Bagaimanapun, Malaysia mempunyai bilangan kematian jalan raya paling rendah berkaitan alkohol iaitu hanya 0.1 peratus, walaupun antara yang menetapkan peratusan had kepekatan alkohol dalam darah yang dibenarkan paling longgar untuk pemandu iaitu 0.08 peratus.

Berdasarkan Seksyen 45G(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, had kandungan alkohol yang ditetapkan untuk pemandu adalah 35 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter nafas: 80 miligram alkohol dalam 100 milimeter darah atau 107 miligram alkohol dalam 100 milimeter air kencing.

Author

Pilihan Editor