SEOUL: LG Electronics Inc pada Jumaat melaporkan rekod jualan tinggi yang disokong oleh perniagaan komponen kenderaan elektrik (EV), namun pendapatan bersih pada suku ketiga mengalami penurunan besar berikutan permintaan lembap untuk elektronik pengguna di tengah-tengah kebimbangan inflasi dan kemelesetan yang tinggi.
Yonhap melaporkan syarikat teknologi Korea Selatan itu dalam makluman kawal selianya melaporkan pendapatan bersih suku ketiganya berjumlah 336.5 bilion won (AS$237.1 juta), susut 34.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pendapatan operasi bagi tempoh Julai-September sebanyak 746.6 bilion won, meningkat 25.1 peratus berbanding tahun lalu, menurut syarikat itu.
Bagaimanapun, keuntungan suku tahunan LG sebenar merosot apabila mengambil kira peruntukan penarikan balik sebanyak 480 bilion won untuk kenderaan elektrik Bolt General Motors Co pada suku yang sama tahun lalu.
Jualan meningkat 14.1 peratus kepada paras tertinggi sebanyak  21.17 trilion won, melepasi paras 20 trilion won buat kali pertama dalam sejarah syarikat, berikutan jualan mantap peralatan rumah mewah dan komponen perniagaan kenderaan elektrik (EV).
Bahagian perkakasan rumah melaporkan jualan sebanyak 7.5 trilion won, meningkat 5.8 peratus berbanding tahun lalu dengan keuntungan operasi sebanyak 228.3 bilion won, merosot tahun ke tahun disebabkan “peningkatan pelaburan pemasaran dan kos logistik yang lebih tinggi.”
Perniagaan TV LG mencatatkan kerugian operasi sebanyak 55.4 bilion won disebabkan perbelanjaan pemasaran lebih besar di tengah-tengah persaingan pasaran semakin sengit dan kos logistik yang tinggi.
Perniagaan EVnya melaporkan jualan 2.3 trilion won, meningkat 45.6 peratus berbanding setahun lalu, pendapatan suku tahunan tertinggi unit perniagaan itu. Keuntungan operasi mencecah 96.1 bilion won.
LG dalam kenyataan memaklumkan peningkatan jualan perniagaan EVnya disumbangkan oleh tindak balas proaktif syarikat terhadap “permintaan yang lebih tinggi daripada pembuat kereta hasil daripada kecekapan pengurusan rantaian bekalan.”
Perniagaan EV dijangka mencatat keuntungan tahun ini, kali pertama sejak syarikat itu memasuki pasaran pada 2013, atas permintaan yang kukuh di tengah-tengah pengurangan beransur-ansur kekurangan cip auto dan peningkatan dalam pengeluaran kereta.
Saham LG Electronics susut 0.37 peratus untuk ditutup pada 79,900 won pada Jumaat berbanding kerugian 0.89 peratus pasaran secara menyeluruh. – BERNAMA