KUALA LUMPUR: Malaysia Digital Week 2022 (MDW 2022) menjadi sebuah usaha Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengukuhkan peranan negara sebagai hab digital serantau.
MDW 2022 kembali sebagai acara anjuran MDEC untuk tahun keempat di Pusat Persidangan dan Acara Connexion, Bangsar South bermula dari 11 hingga 14 Oktober.
Caretaker Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata dalam kenyataan pada Rabu, acara ini merupakan antara inisiatif-inisiatif strategik MDEC.
Menurut beliau, inisiatif MDEC ini mampu memacu pertumbuhan ekosistem digital dan menarik pelaburan yang signifikan daripada syarikat-syarikat teknologi.
“MDW 2022 akan memupuk hubungan dan penglibatan yang lebih kukuh bersama pihak berkepentingan bagi sektor pelaburan digital dari seluruh rantau ini.
“Diharapkan menerusi acara ini, banyak manfaat boleh diperolehi daripada perbincangan mengenai cara inovatif pemain industri menggunakan teknologi untuk membentuk ekonomi digital yang lebih inklusif dan saksama,” kata Annuar.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts Mahadhir Aziz berkata, MDW 2022 merupakan platform terbaik untuk mengetengahkan kebolehan dan kekuatan dari segi kapasiti dan keupayaan digital negara.
“Malah kita akan mampu meluaskan lagi ufuk pandangan dan mencetus idea baharu sepanjang penganjuran acara ini, sejajar dengan objektif Malaysia Digital untuk memangkinkan dan memecut pertumbuhan ekonomi digital Malaysia,” kata Mahadhir.
Antara barisan penceramah antarabangsa membuat penampilan di MDW 2022 ialah bekas Menteri Kebudayaan dan Digital United Kingdom, Lord Ed Vaizey; bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Thomas Trikasih Lembong; dan Profesor Adjung Universiti New York, Winston Wenyan Ma.
Acara ini juga menampilkan pelbagai pemain utama industri dan pakar-pakar teknologi digital terkemuka; sesi perbincangan dan ucaptama dalam perkembangan teknologi semasa; kajian kes, topik dasar utama dan kawal selia.
MDW 2022 merupakan sebahagian usaha MDEC memacu pelaburan digital (Pelaburan Langsung Asing dan Pelaburan Langsung Dalam Negara) bagi mencapai pelaburan bernilai RM50 bilion dan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.
MDEC akan membuat beberapa pengumuman penting bagi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan digital.
Sebuah kertas kajian bertajuk ‘Malaysia: Ke Arah Ibu Kota Digital ASEAN’ juga akan dilancarkan MDEC dengan kerjasama Huawei pada acara tahun ini.