HomeBeritaMemilih UMNO seperti menjual tanah air - Mahathir

Memilih UMNO seperti menjual tanah air – Mahathir

PUTRAJAYA: Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat menolak daripada mengundi parti UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahathir berkata dalam sidang media khas pada hari ini, penolakan UMNO adalah kerana parti itu mempunyai banyak pemimpinnya terlibat kes jenayah dan mahkamah berhubung kecurian duit rakyat.

Malah, menurutnya, rakyat yang memilih UMNO dalam PRU15 nanti adalah seperti menjual tanah air sendiri.

“Dalam PRU15, mereka akan gunakan wang dengan banyak, sogokan kepada pengundi dan kita minta supaya rakyat menolak ‘penjualan tanah air’ mereka kerana duit. Kerana kalau undi parti lawan, UMNO, sama dengan menjual tanah air,” katanya.

Terdahulu, Mahathir menjelaskan berkenaan matlamat utama GTA bertanding PRU15 adalah bagi menawarkan alternatif kerajaan yang bersih, cekap dan beramanah kepada rakyat.

Katanya, UMNO berjuang untuk PRU15 bagi menyelamatkan pemimpin mereka terlibat jenayah daripada dihadapkan ke mahkamah, dihukum dan dipenjara.

“Kita khuatir kalau tidak ada sesiapa pun yang melawan dengan mereka,mereka akan menang dan dirikan kerajaan pimpinan penjenayah, pimpinan orang yang mempunyai masalah dengan mahkamah kerana ramai daripada mereka terlibat dengan penipuan, pencurian, rasuah dan salah guna kuasa.

“Orang ini akan jadi kerajaan jika tidak ada satu pihak yang akan cabar mereka dan memberi alternatif kepada rakyat khususnya orang Melayu supaya kita dapat dipilih menjadi kerajaan

“Kita daripada GTA, terdiri daripada orang yang tidak ada masalah dengan mahkamah, tidak ada penjenayah dalam kalangan GTA, tidak ada calon yang akan dikemukakan yang terlibat dengan jenayah, curi duit, salah guna kuasa, orang yang seperti ini tidak ada dalam GTA.

“Jadi pilihan bagi rakyat dalam PRU15 ini adalah antara kerajaan penjenayah dengan kerajaan yang bersih, cekap dan beramanah, itu kita, GTA bersih daripada segala jenayah,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor