KUALA LUMPUR: Juara bertahan Piala Malaysia, Kuala Lumpur (KL) City FC mencipta sejarah dengan menumpaskan kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana pada final antara zon Piala AFC 2022, 5-3, menerusi sepakan penalti, hari ini.
Pada aksi di Kompleks Sukan Sogdiana itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan itu sebelum juara ditentukan menerusi sepakan penalti.
Kejayaan sensasi dilakar anak buah Bojan Hodak itu menyaksikan mereka layak ke final Piala AFC 2022 buat kali pertama apabila dijadual bertemu Al Seeb pada 22 Okt ini selepas wakil Oman itu membelasah kelab Bahrain, Al Riffa, 4-0, pada aksi final zon barat semalam.
Perlawanan tersebut menyaksikan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza layak diangkat wira pasukannya apabila menampilkan aksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah termasuk sepakan kedua penalti pemain pertahanan kanan, Shakhboz Jurabekov.
Skuad warga kota itu jelas tenang melepasi detik genting tersebut apabila berjaya menyempurnakan kelima-lima sepakan penalti menerusi ketua pasukan, Paulo Josue, Romel Morales, Muhammad Hadin Azman, Muhammad Akram Mahinan dan Giancarlo Gallifuoco.
Terdahulu, Sogdiana yang menerima sokongan padu penyokong mereka, menguasai babak pertama namun gagal menjelmakan sebarang gol diharapkan apabila barisan pertahanan KL City berjaya menyerap tekanan pasukan bimbingan Ulugbek Bakayev.
Peluang terbaik Sogdiana hadir menerusi sepakan percuma pemain pertahanan kanan, Jurabekov pada minit ke-20 disusuli percubaan dari luar kotak penalti oleh tonggak serangan, Jasur Khasanov, pada minit ke-44 namun ditangkap kemas Mendoza.
Bersambung babak kedua, KL City berpeluang berada di depan namun tandukan Morales, hasil daripada sepakan percuma ketua pasukan Paulo Josue diselamatkan penjaga gol Sogdiana, Milan Mitrovic pada minit ke-64 sebelum Mendoza menepis keluar tandukan pemain simpanan, Shavkat Salomov, selang tiga minit kemudian.
Penyerang Shokhruz Norkhonov mensia-siakan peluang untuk menghasilkan jaringan apabila percubaan jarak dekatnya melambung tinggi pada minit ke-85 manakala Mendoza menafikan rembatan padu Khasanov pada minit ketiga masa kecederaan dan kedudukan tanpa jaringan menyebabkan perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan.
Aksi menakjubkan Mendoza diteruskan pada masa tambahan apabila beliau menyelamatkan dua percubaan iaitu tandukan Jurabekov pada minit keenam diikuti sepakan padu dari luar kotak penalti oleh Javokhir Kakhramanov pada minit ke-106, sekali gus memastikan pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
Juara sembilan kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang berjaya menjuarai Piala AFC pada 2015 dengan menumpaskan pasukan dari Tajikistan, Istiklol, 1-0. – BERNAMA