HomeMV+PendapatMengembalikan kebebasan media tanpa jadi 'pak turut'

Mengembalikan kebebasan media tanpa jadi ‘pak turut’

KEMUNCULAN dan lambakan portal berita dalam talian telah mengubah landskap kewartawanan negara dengan menuntut laporan berita yang lebih pantas dan terkini.

Peningkatan teknologi digital dan penggunaan luas media sosial menyebabkan kerjaya kewartawanan berhadapan pelbagai cabaran, berikutan kewujudan ‘wartawan ekspres’ daripada orang awam yang membuat laporan secara langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute, Datuk Dr Chamil Wariya pernah menggariskan tiga nilai kewartawanan yang diamalkan, iaitu kewartawanan perjuangan, kewartawanan perkhidmatan awam dan kewartawanan komersial.

Kewartawanan perjuangan menyaksikan wartawan memperjuangkan sesuatu ideologi yang dipercayainya.

Golongan ini menulis untuk menentang rasuah, membongkar skandal dan penyelewengan pemimpin negara yang bersifat ‘musang berbulu ayam’ dan menganggap dosa besar rakyat adalah khianat kepada negara.

Kewartawanan perkhidmatan awam pula terdiri daripada wartawan yang menganggap diri mereka sebagai the ‘fourth estate’ menyediakan laporan kepentingan awam selepas tiga institusi utama iaitu penggubal undang-undang, pelaksana dan kehakiman.

Laporan biasanya menegur kerajaan atau pihak berkuasa disampaikan dengan nada sinis dan sindiran.

Selain itu, kewartawanan komersial pula mengetengahkan nilai berita yang boleh dijual dan menarik perhatian khalayak, seperti berita berunsur human interest, sukan dan hiburan, bagi meraih keuntungan kewangan.

Dunia kewartawanan seharusnya mengangkat isu yang dekat dengan rakyat, menegur keprihatinan sosial, mengetengahkan ketidakadilan undang-undang, tentang kejayaan sesuatu dasar atau seribu macam warna-warni suka duka masyarakat Malaysia.

Tetapi amat malang, akhir-akhir ini telah berlaku trend di kalangan pengarang portal-portal berita yang mahu menjadi ‘mainstream media’.

Apa itu ‘mainstream media’?

Mainstream media atau dikenali arus perdana maksudnya organisasi media yang akan segera menjadi tumpuan serta rujukan orang ramai dan pihak kerajaan untuk mengetahui sesuatu isu lebih mendalam.

Nama organisasi arus perdana ini juga akan dihubungi oleh pak menteri, juak politik, kerajaan, parti pembangkang untuk memberikan maklumat dan fakta mengenai sesuatu isu.

Malangnya, beberapa isu besar diakui sendiri oleh petugas portal bahawa mereka dilarang menulis mengenainya bagi menjaga status ‘mainstream’.

Bahkan pihak pengarang akan melakukan ‘spike out’ pada isu yang ditulis, dipercayai selepas dikawal oleh pihak berkepentingan.

Contoh, ketika detik-detik Emilia Hanafi sebelum dipenjarakan tiada media berani menulis mengenainya walaupun kesnya sudah mula dibicarakan sejak tujuh tahun lalu.

Kes pelajar PhD dari Yaman dibuang daripada universiti dan hasil kajiannya dicuri juga tidak diberi liputan.

Isu sindiket tunda kereta didalangi organisasi dalaman MAEPS juga tidak dilaporkan dengan benar dan mendalam walaupun ia sebenarnya sudah bertahun-tahun berlaku tanpa pengetahuan umum.

Paling terbaharu, isu pusat pemulihan tidak berdaftar yang meletakkan risiko keselamatan anak-anak, surat aku janji berat sebelah juga tidak dihebahkan.

Adakah isu-isu sebegini tidak penting? Adakah ia hanya sah apabila ada menteri yang bercakap? Mengapa seolah-olah ia dipandang enteng sahaja?

Semua berita dilaporkan oleh portal dan media arus perdana ini seolah-olah tunggu ‘press release’ sahaja. Itu pun jika ia berkepentingan.

Terbaharu isu Cikgu Fadli Salleh, pemberitaan hanya berkaitan beliau terlepas tindakan tatatertib padahal isu sebenar diutarakan cikgu itu iaitu beg berat, silibus syok sendiri, pelajar terlalu ramai dalam kelas, ‘Little Napoleon’ iaitu golongan yang dilindungi pihak berkuasa dalam PPD yang tidak dihuraikan.

Negara kita telahpun melepasi Wawasan 2020, sepatutnya ada tanggungjawab lebih besar kepada negara dan masyarakat memberi perhatian dan membantu berbanding takut disaman kononnya.

Agak menyedihkan juga, isu-isu di atas sebenarnya hanya mendapat perhatian golongan peguam yang banyak membantu memberikan input-input untuk menghasilkan pembongkaran yang lebih berkualiti.

Susulan itu, ia ditambah dengan kemajuan sosial media fakta yang dibentangkan akan segera mendapat maklum balas semua golongan.

Di mana silapnya kebebasan media di Malaysia?

Media seharusnya kekal bebas tanpa gangguan sebagaimana ucapan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Hari Wartawan Mei lalu, serta tidak wujud budaya ‘Little Napolean’ dalam mengejar status media arus perdana.

Sebagaimana kita bertandang ke rumah orang lain, jika kopi itu pahit pastinya ditelan jua demi menjaga hati tuan rumah kerana itulah ciri sebenar yang dihidangkan si pembuatnya.

Seharusnya tidak dihalang jiwa wartawan yang sedang bersemangat membongkar dan menulis sesuatu isu berlandaskan kebenaran dan kesejahteraan rakyat.

Kenapa tidak berani tulis? Hilangkah kredibiliti? Seharusnya wartawan diberi peluang sama menerajui portal-portal media supaya setiap isu adalah ‘mainstream’ tidak disorok permasalahan rakyat dan kecelaruan pelaksanaan undang-undang.

Kembalikanlah kewartawanan sebenar menjuarai isu rakyat dan negara tanpa jadi “yes man” atau penapis teh yang akhirnya merosakkan peranan media sebagai ‘watchdog’ bersama membangun negara yang berpaksikan tanpa rasa takut atau dipengaruhi sesiapa.

Author

Pilihan Editor