HomeBeritaMET beri amaran 12 negeri, tiga wilayah dilanda ribut petir, hujan lebat

MET beri amaran 12 negeri, tiga wilayah dilanda ribut petir, hujan lebat

CYBERJAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangkakan melanda 12 negeri dan tiga wilayah sehingga 7 malam pada Selasa.

MetMalaysia berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 3.55 petang, antara negeri dan wilayah tersebut ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, MetMalaysia mengumumkan dalam kenyataan pada Isnin, supaya orang awam bersiap sedia dan tidak bimbang dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan pada laman web rasmi kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, negara mengalami Monsun Timur Laut (MTL) pada setiap tahun dan MTL 2022/2023 dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023.

“METMalaysia melakukan pemantauan cuaca secara beterusan 24 jam sehari sepanjang tahun dan amaran cuaca dikeluarkan sekiranya dijangka berlaku ribut petir, hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora serta Siklon Tropika. Amaran cuaca tersebut akan dihebahkan melalui pelbagai saluran kepada orang awam termasuk warga AS di Malaysia,” katanya.

METMalaysia turut menyarankan orang awam mengikut arahan Agensi-Agensi Pengurusan Bencana Negara semasa kejadian banjir dan diminta untuk lebih peka dengan sebarang perubahan cuaca.

Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web iaitu www.metgov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia serta Hotline di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Author

Pilihan Editor