KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mendedikasikan kemenangan 2-0 Skuad Penyu atas Sabah FC dalam aksi Liga Super di sini malam tadi, khas buat penyokong skuad hitam putih.
Menurut Nafuzi, beliau amat terharu dan berbangga kerana penyokong serta peminat bola sepak Terengganu sentiasa memberikan sokongan padu dengan hadir memenuhi stadium serta menyifatkan mereka antara penyokong terbaik kelab bola sepak di negara ini.
“Saya sungguh terharu dengan peminat bola sepak Terengganu yang dari awal tak berhenti beri sokongan kepada pasukan, sejak saya mula menerajui pasukan ini pada 2018.
“Apatah lagi di saat kita dalam kedudukan sengit bersaing dengan beberapa pasukan lain untuk merebut slot ke Piala Konfederansi Asia (AFC),” katanya selepas perlawanan menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam tadi.
Pada perlawanan tersebut dua gol jaringan Skuad Penyu berjaya dihasilkan Nik Muhammad Shariff Haseefy Mohd Lazim dan Pape Diakite.
Dalam pada itu, Nafuzi memuji persembahan bertenaga anak buahnya sehingga berjaya menewaskan pasukan Sabah yang berada di kedudukan lebih atas berbanding TFC dalam ranking Liga Super.
Sementara itu Ketua Jurulatih Sabah Datuk Ong Kim Swee berkata persembahan malam tadi merupakan aksi terburuk yang pernah dipamerkan anak buahnya sepanjang 19 perlawanan Liga Super musim ini.
“Terengganu memang layak menang, malah dengan corak permainan seperti malam ini, kita tak layak walaupun untuk keputusan seri,” katanya.
Bagaimanapun beliau tetap yakin Sabah masih di landasan yang betul untuk menamatkan liga musim ini dalam kelompok tiga pasukan terbaik, sekali gus layak ke Piala AFC musim depan. – BERNAMA