HomeBeritaPekerja p-hailing digalak carum dengan Perkeso

Pekerja p-hailing digalak carum dengan Perkeso

 

KLANG: Penghantar barangan dan makanan atau p-hailing digalak untuk berdaftar dan mencarum dengan program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sehingga kini seramai 175,499 pemandu p-hailing telah berdaftar dan mencarum dengan Perkeso sejak SKSPS dkuatkuasakan pada 1 Jun 2017.

Katanya, pencarum SKSPS hanya perlu membayar RM46.60 setahun iaitu 20 peratus sahaja manakala baki bayaran sebanyak RM186.20 akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

“Jangan fikir ia satu beban, ia lebih kepada jaringan keselamatan sosial kepada tanggungan waris demi kesinambungan hidup,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan faedah Perkeso kepada balu penghantar makanan yang maut dirempuh sebuah kenderaan baru-baru ini, di kediaman keluarga mangsa, di sini, hari ini.

Pada 23 September lepas, Allahyarham Muhaimin Mohd Said, 34, maut selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Haji Sirat, Meru, dekat sini, semasa dalam perjalanan untuk mengambil pesanan makanan pelanggan.

Mohammed Azman berkata, semakan pihaknya mendapati Muhaimin pernah mencarum di bawah Akta 789 dan beliau layak menerima pencen penakat di bawah Skim Keilatan berjumlah RM882.98 sebulan yang dibayar secara berkala sepanjang hayat.

Katanya, isteri Muhaimin, Nur Izwana Othman, 26, juga layak menerima Faedah Orang Tanggungan berjumlah RM837 sebulan yang dibayar seumur hidup serta Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar dibawah SKSPS bagi Akta 789.

“Dalam kejadian sama, seorang lagi penghantar makanan yang dirempuh kenderaan sehingga mengalami kecederaan parah pada kedua-dua belah kaki tidak melayakkan lelaki itu menerima faedah, kerana tidak berdaftar dan mencarum dengan Perkeso.

“Justeru, jika kita menyayangi keluarga kita sama ada isteri, anak dan ibu bapa, jangan anggap pendaftaran dan caruman Perkeso ini satu bebanan. Hari ini kita mungkin selamat, hari besok belum tentu,” katanya. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor