ALOR SETAR: Penduduk tinggal di sekitar tepi laut di Kuala Kedah di sini dan Kota Kuala Muda, Sungai Petani diingatkan agar segera berpindah sekiranya paras air laut mencapai ketinggian tiga meter semasa fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 11 dan 12 Oktober ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, berdasarkan pemerhatian dan pengalaman lepas, paras air laut di kedua-dua kawasan itu akan meningkat ketika fenomena air pasang besar.
“Kuala Kedah memang kerap naik air pasang besar, tapi saya hendak ingatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan tepi laut supaya dapatkan maklumat dari pihak berkuasa, berpindahlah segera jika keadaan air pasang besar meningkat.
“Selalunya paras air boleh capai sehingga paras tiga meter, tapi kalau paras air di kawasan daratan berada di buku lali itu maknanya paras air pasang besar itu tidak sampai lagi tiga meter,” katanya selepas sesi perbincangan hala tuju pelaksanaan Pasukan Bomba Sukarela di sini hari ini.
Sayani berkata, JBPM Kedah telah siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut akan datang.
“Pasukan bomba memang dalam keadaan siap siaga sekarang ini, bila ada permintaan dari agensi-agensi yang terbabit untuk kami bersedia di kawasan itu kami akan membantu. Bukan sahaja bomba, tapi banyak lagi agensi akan terlibat bersama aset masing-masing bagi operasi penyelamatan mangsa,” katanya. – BERNAMA