CYBERJAYA: Perkongsian seorang pengguna Twitter menunjukkan keadaan perabot begitu daif dan berkarat yang mendatangkan risiko kepada pelawat ketika berada di sebuah Klinik Kesihatan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menarik perhatian orang ramai sehingga menjadi tular.
Menerusi hantaran yang dibuat oleh pengguna media sosial bernama @ultranatasja, kelihatan beberapa buah kerusi di ruangan menunggu dilihat berada dalam keadaan usang dipercayai lokasi di Klinik Kesihatan Kajang.
“Mungkin tiba masanya untuk KKM menyelenggara perabot di Klinik Kesihatan (KK). Terdapat banyak yang berada dalam keadaan daif, tidak mencukupi untuk pada ibu mengandung dan bayi baru lahir.
“Kami tidak minta perabot eksklusif, sudah memadai yang tidak berkarat dan stabil untuk digunakan,” ciapnya di laman Twitter.
Tambahnya, perkara tersebut perlu diberi perhatian oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan tular itu.
Rata-rata pengguna media sosial turut memberi pelbagai reaksi dengan menggesa agar tindakan segera diambil oleh KKM untuk keselesaan pelawat serta ada yang berkongsi pengalaman sama ketika mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan kawasan lain.
“Klinik di Rengit, Batu Pahat sangat kecil sentiasa penuh dan sesak. Sebelah klinik terdapat sebuah pejabat tanah yang besar tetapi tiada orang. Tidak faham apa keutamaan mereka sebenarnya,” kata @yuszuri.
“Klinik kesihatan di Batu, Kuala Lumpur sungguh teruk. Terdapat tangga menjadi bahagian laluan masuk hampir nak roboh. Sebuah bilik perkhidmatan kecil untuk tiga pesakit sekaligus. Ruang menunggu sesak sehingga ada ibu pegang anak sambil berdiri menunggu giliran,” kongsi @hehudahahadi.
“YB KJ, tolong tambah baik fasiliti di Hospital Kuala Kangsar. Sesetengah ubat kena beli sendiri kerana tiada di farmasi. Ultrasound juga tiada. Menyulitkan untuk golongan warga emas berulang-alik dari Taiping ke Ipoh untuk mendaptkan perkhidmatan kesihatan,” jelas @TheaAthena7.
Terdahulu, Khairy memaklumkan KKM memohon kerajaan meningkatkan peruntukan tambahan ke lima peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk Bajet 2023 yang dijadual akan dibentangkan Menteri Kewangan Jumaat ini.
Oleh itu, permohonan ini diharap dapat disalurkan untuk menambah baik sistem perkhidmatan awam dengan membaik pulih perabot yang telah usang untuk tahap kesejahteraan rakyat dalam kesihatan awam.