HomeNiagaUsahawanPesta Mega di Dataran Merdeka Ruang Penjaja, Peniaga Kecil tonjol produk

Pesta Mega di Dataran Merdeka Ruang Penjaja, Peniaga Kecil tonjol produk

 

KUALA LUMPUR: Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia 2022 ialah platform bagi penjaja, peniaga dan usahawan kecil dari seluruh negara berniaga secara besar-besaran untuk menambah pendapatan serta menonjolkan produk mereka.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja Dan Peniaga Malaysia Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata pesta yang bermula semalam dan dilanjutkan hingga Sabtu ini juga adalah sebagai pentas kemunculan semula para penjaja, peniaga dan usahawan kecil yang terjejas teruk dalam tempoh pandemik sebelum ini.

“Selain itu, pesta mega ini diadakan untuk memberikan peluang kepada orang ramai membeli-belah barangan keperluan pada harga berpatutan di samping merasai pelbagai jenis masakan cita rasa Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pesta berkenaan di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Pesta mega itu merupakan anjuran dan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Yayasan Wilayah Persekutuan, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur serta beberapa agensi dan jabatan kerajaan.

Rosli yang juga Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan kerana melaksanakan program itu yang sekali gus membantu penjaja dan peniaga kecil kembali bangkit.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMM), Datuk Muhammad Abdullah berkata kali terakhir pesta seperti itu berlangsung adalah pada 2012 dan menyifatkan penganjurannya di Dataran Merdeka kali ini sebagai yang terbesar.

Katanya, penganjuran pesta mega itu juga membuktikan bahawa penjaja dan peniaga kecil berperanan penting dalam membantu merancakkan semula ekonomi negara.

“Ini membuktikan kerajaan memang prihatin kerana telah mewujudkan pelbagai inisiatif bagi membantu para penjaja selain peniaga kecil yang dianggarkan berjumlah 1.8 juta di seluruh negara,” katanya.

Peniaga makanan ringan jenama As Seranting, Ahmad Selamat, 56, berkata pesta jualan perlu diadakan setiap tahun, terutamanya di Dataran Merdeka sendiri kerana lokasi itu menjadi tumpuan pengunjung dari dalam negara dan luar negara.

“Pesta mega ini juga bagus untuk ekonomi peniaga kecil,” katanya yang telah berniaga di Pasar Seni sejak 1986.

Bagi Fadillah Ayub, 28, yang berniaga barangan bayi jenama Fir & Friends sejak dicutikan tanpa gaji ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama berkata pesta itu adalah satu perkara baharu buatnya kerana selama ini dia hanya berniaga secara dalam talian.

“Saya berharap dapat mengikuti program seperti ini pada masa hadapan malah berharap kerajaan mengadakan pesta sebegini di negeri-negeri lain untuk saya turut serta. Ini dapat memberi peluang kepada peniaga baharu seperti saya memperkenalkan barang-barang jualan di tempat lain,” katanya. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor