HomeBeritaPolitikPRU15: Angkatan Muda Harapan mahu angkat isu tanah Kampung Baru sebagai isu...

PRU15: Angkatan Muda Harapan mahu angkat isu tanah Kampung Baru sebagai isu nasional

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Harapan mahu menjadikan isu pengambilan tanah di Sungai Baru, Kampung Baru sebagai isu nasional sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dipilih sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Harapan, Hasbie Muda berkata, Angkata Muda Harapan akan menjadi platform buat anak muda seluruh negara untuk mengangkat isu tanah di Kampung Baru ini yang menindas hak penduduk setempat sebagai tuan tanah.

“Isu ini telah diangkat ramai kepimpinan PH termasuk bekas Menteri Wilayah, Khalid Samad, Ketua Pemuda PH, pimpinan Amanah Wilayah KL.

“Oleh itu, tujuan Angkatan Muda Harapan adalah membawa anak muda mengangkat isu ini kerana kes melibatkan pengambilan tanah yang mempunyai geran. Pemilik tanah adalah pemilik yang sah walaupun pegangan pajakan (leasehold).

“Pengambilan tanah di Sungai Baru ini bukan kepentingan strategik negara. Tetapi untuk kepentingan komersial pemaju. Mereka boleh merampas hak penduduk di sini yang sudah tinggal 40 hingga 50 tahun hanya untuk kepentingan pemaju. Kita harap orang muda dapat melihat isu ini sebagai pencabulan hak yang menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk kepentingan komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam program jelajah Harapan Muda Edisi Wilayah Persekutuan di Pusat Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.

Jelas Hasbie lagi, isu tanah di Kampung Baru perlu diangkat sebagai isu nasional untuk mengelak kesan sosial pengambilan tanah pemilik merebak ke seluruh negeri yang lain sekaligus meragut hak milik penduduk.

“Isu pengambilan tanah mesti menjadi isu nasional, yang diangkat oleh semua anak muda. Kalau sekarang ini kena kepada penduduk Kg Baru, tidak mustahil akan kena pula kepada mak ayah kita yang merupakan pemilik tanah di negeri lain,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor