HomeBeritaPolitikPRU15: Bubar Parlimen, DUN berasingan beri impak kos cecah RM2 billion

PRU15: Bubar Parlimen, DUN berasingan beri impak kos cecah RM2 billion

CYBERJAYA: Pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibuat secara berasingan dijangka akan meningkatkan kos perbelanjaan pelaksanaan pilihan raya hingga mencecah RM2 billion.

Penganalisis Politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata, rakyat akan terkesan dengan terpaksa mengundi sebanyak dua kali sekiranya tidak dibubarkan serentak sekaligus akan meningkatkan perbelanjaan mereka bagi melaksanakan proses demokrasi itu.

“Sudah pasti pembubaran Parlimen dan DUN tidak serentak akan memberi impak. Khuatir akan memberi impak kepada pengundi. Pada saya, kalau diadakan sekali, bagus kerana akan memudahkan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), agensi dan para pengundi supaya tidak akan keluar sebanyak dua kali.

“Perbelanjaan akan meningkat jika diadakan dua kali. Mengikut anggaran sebanyak setakat ini bila diselaraskan perbelanjaan PRU15 sebanyak RM1.2 billion. Kalau tidak  diselaraskan kos mampu mencecah RM2 billion,” katanya kepada MEDIA VARIASI hari ini.

Jelas Dr Sivamurugan lagi, tindakan pembangkang yang mengambil pendirian untuk tidak membubarkan DUN di beberapa negeri juga merupakan sebuah protes terhadap pembubaran Parlimen yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada semalam yang dijangka pelaksanaan PRU15 dibuat ketika musim tengkujuh pada pertengahan bulan November.

“Mungkin bagi pembangkang mereka rasakan ini merupakan satu protes kepada pembubaran yang dilakukan dijangka akan berhadapan musim monsun.

“Tetapi saya percaya SPR akan mempunyai plan kecemasan dan ianya diadakan secepat mungkin mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kerajaan negeri Selangor akan berjalan seperti biasa hingga tahun ini serta tidak akan dibubarkan serentak dengan Parlimen pada PRU15.

Keputusan itu dibuat setelah beliau menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta menyembah maklum nasihat baginda untuk memberi tumpuan terhadap kerajaan rakyat Selangor.

Author

Pilihan Editor