HomeBeritaPRU15: Kekal pertahan Parlimen Jerlun, Mukhriz antara lapan calon Pejuang diumumkan

PRU15: Kekal pertahan Parlimen Jerlun, Mukhriz antara lapan calon Pejuang diumumkan

PUTRAJAYA: Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kekal pertahankan kerusi Parlimennya, Jerlun selepas diumumkan sebagai calon Pejuang Parlimen Jerlun untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Jerlun itu, merupakan antara lapon calon daripada Pejuang yang akan bertanding untuk PRU15, diumumkan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media khas pada hari ini.

Selain Mukhriz, calon Pejuang yang diumumkan tersebut ialah Mahathir (Langkawi); Datuk Wira Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu); Datin Paduka Che Asmah (Sepang); Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah); Harumaini Omar (Hulu Selangor); Mohd Shaidi Rosli (Kuala Selangor); dan Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa).

“Jadi yang lapan ini telah kita tetapkan, yang lain-lain itu kita akan putuskan setelah kita memutuskan berkenaan GTA dengan PN.

“Kita berpendapat kerjasama ini menghasilkan jumlah calon yang agak ramai dan kita tiada masalah nak ada calon untuk semua 120 kerusi yang dijanjikan, mungkin juga lebih daripada itu,” kata Mahathir.

Terdahulu, Mahathir berkata dalam sidang media tersebut, Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan logo dan bendera Pejuang, masih lagi sedang berunding dengan Perikatan Nasional (PN) berhubung kerjasama yang berpotensi wujud di antara mereka.

“Saya terpaksa jelaskan di sini bahawa rundingan dengan PN masih berjalan kerana ada sedikit masalah yang belum kita putuskan, dan kita bersetuju mengadakan apa jenis kerjasama pun,” katanya.

Menurut Mahathir, rundingan tersebut adalah bagi mengelakkan pertindihan calon di antara GTA dengan PN di kawasan-kawasan yang akan ditandingi mereka dalam PRU.

Tambahnya, GTA mungkin akan bertanding lebih daripada 120 kerusi Parlimen, namun buat masa ini GTA masih belum menentukan kerusi yang akan ditandingi di Johor dan Sabah.

Author

Pilihan Editor