HomeBeritaPRU15 pada musim banjir hanya susahkan rakyat – Muhyiddin

PRU15 pada musim banjir hanya susahkan rakyat – Muhyiddin

 

CYBERJAYA: Parti Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan pada tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, mengadakan pilihanraya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihanraya di samping menyusahkan rakyat.

“Perikatan Nasional berpendirian bahawa Pilihanraya Umum ke-15 tidak wajar diadakan pada tahun ini memandangkan monsun timur laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri-negeri pantai timur.

“Kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca-pandemik.

“Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan. Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutamanya menerusi Bajet 2023,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, kesemua anggota Jemaah Menteri parti itu turut diminta untuk menegaskan pendirian tersebut dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional juga diminta mengambil pendirian yang sama,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor