HomeBeritaPRU15: PKR umum tujuh calon profesional, Nik Omar bertanding di Perak

PRU15: PKR umum tujuh calon profesional, Nik Omar bertanding di Perak

PETALING JAYA: Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mewakili PKR bertanding di negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan, bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman turut akan bertanding di negeri Perak.

Selain itu, ahli akademik, Datuk Hassan Basri Awang Mat Dahan akan mewakili gabungan parti itu bagi merebut kerusi di Pahang sementara itu pejuang hak pesakit spina bifida, Dr Nur Aisyah Mydin Abdul Aziz akan dipertaruhkan di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Semua calon ini akan bertanding di bawah tiket PKR,” katanya dalam sidang media pengumuman calon berprofil tinggi di ibu pejabat PKR, di Merchant’s Square, Petaling Jaya, di sini hari ini.

Anwar juga turut mengumumkan ahli korporat, Saiful Azan Yusof akan bertanding di Selangor manakala mantan Presiden Majlis Belia Malaysia, Julfitri Johar akan diletakkan sebagai calon di Negeri Sembilan.

Selain itu, PKR juga akan mempertaruhkan golongan mahasiswa untuk mewakili parti itu di PRU15, Fatin Amylie Fazlie, 28 tahun yang akan bertanding di Perlis.

Kata Anwar, semua calon yang akan mewakili PKR yang akan bertanding di bawah gabungan Pakatan Harapan akan diumumkan pada 28 Oktober di Taman Kosas, Ampang Jumaat ini.

Author

Pilihan Editor