KUALA LUMPUR: Wanita Barisan Nasional (BN) telah mengenal pasti calon wanita yang berkebolehan dan berpotensi menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, senarai tersebut telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dipertimbangkan.
“Menjadi harapan saya selaku Pengerusi Wanita BN untuk melihat calon-calon yang dikemukakan ini diterima baik oleh kepimpinan BN sekali gus memenangi pilihan raya bagi mewakili golongan wanita dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Wanita BN mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi parti itu yang telah menyatakan komitmen untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan calon wanita dalam PRU15.
Beliau menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan serta kepercayaan yang diberikan kepada Wanita BN untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam menerajui kepimpinan politik negara.
“Dengan kepercayaan yang diberikan ini, Wanita BN yakin mampu memberikan sumbangan kepada parti dan meletakkan iltizam yang tinggi untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya. – BERNAMA