HomeBeritaRakyat Malaysia mangsa scammer terbesar di Myanmar diselamatkan

Rakyat Malaysia mangsa scammer terbesar di Myanmar diselamatkan

SEPANG: Seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket scammer pekerjaan dan mencari jodoh di Myanmar berjaya diselamatkan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 kira-kira jam 8 malam semalam.

Pemuda berusia 20 tahun, yang enggan didedahkan identiti atas faktor keselamatan menjadi mangsa pemerdagangan manusia sejurus tiba di Myanmar, pada Februari lalu.

Misi penyelamatan ini membabitkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dengan bantuan orang tengah, Victor Wong.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, misi penyelamatan itu amat sukar dilakukan kerana pihak berkuasa KK Garden, Myanmar tidak bekerjasama dengan baik.

Mangsa sindiket scammer terbesar di Myanmar mengenakan baju panas tulisan Crew

“Cabaran utama kami untuk menyelamatkan pemuda ini kerana sukar mendapat kerjasama pihak berkuasa dan kami tidak menjangka mangsa dapat keluar dari neraka ini.

“Pihak berkuasa dikenali sebagai pemberontak dan sebenarnya tidak dapat kerjasama dengan pemerintah di Myawadi.

“Sebagaimana yang didedahkan mangsa dan beberapa mangsa sebelum ini memberitahu KK Garden yang menempatkan mereka di blok-blok bangunan dikawal oleh tentera dari junta pemisah berpusat di Yangon.

“Masih ramai mangsa rakyat Malaysia di KK Garden, Myanmar yang belum diselamatkan.

“Mereka pergi ke sana kerana diperdaya tawaran kerja sebagai penterjemah, kasino dan sebagainya tetapi apabila tiba di sana dipaksa kerja untuk menipu orang seluruh dunia.

“Jika mereka enggan, mereka akan dipukul atau ada yang dijadikan pelacur dan juga ada yang dibunuh dan dijual organ.

“Mereka masih menghubungi ibu bapa di sini dan perkara ini sampai kepada saya, jadi saya teruja apabila hari ini dapat jumpa salah seorang mangsa.

“Saya nampak mangsa dalam keadaan trauma, ketakutan, bukan perkara mudah dan jika kita kena kurung dalam tempoh yang lama, tidak mudah untuk kita jumpa dan bercakap. Dia bimbang ada orang cari dia.

“Di sana ada 50 blok, satu blok ada ratusan orang dan anggarannya ramai lagi rakyat Malaysia yang bukan sahaja terkurung, mereka dipaksa bekerja sebagai scammer,” katanya kepada pemberita.

Turut hadir, Timbalan Presiden MCCC, Datuk Nazri Ibrahim.

Mangsa turut menceritakan bagaimana dia dipukul, dicederakan, pelbagai hukuman seperti renjatan elektrik, bilik gelap, tak diberi makan jika tidak capai sasaran hasil menjalankan aktiviti penipuan.

Walaupun pihak berkuasa Myanmar bertelagah, Malaysia berada sebagai negara berkecuali, ada hubungan diplomatik yang baik pernah jadi orang tengah dalam penyelesaian isu-isu melibatkan konflik.

“Malaysia tidak mencampuri urusan dalaman Myanmar tetapi hari ini jika bercakap kita minta  kerajaan Myanmar bantulah rakyat Malaysia di sana.

“Hari ini kita juga berterima kasih Victor Wong dari Thailand, sudi biayai tiket penerbangan dan urusan dokumentasi kedutaan msia di Thailand yang keluarkan pas sementara untuk hantar pulang.

“Kami juga minta kerajaan untuk mencari solusi, adakah kita hanya mahu tunggu dan lihat, kita tidak mampu buat apa-apa tanpa bantuan pihak berkuasa,” katanya.

Author

Pilihan Editor