HomeBeritaRUU GEG untuk lindungi kumpulan B40 bebas rokok

RUU GEG untuk lindungi kumpulan B40 bebas rokok

PUTRAJAYA:  Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Generational End Game (GEG) merupakan usaha kerajaan bagi melindungi kumpulan isi rumah B40 daripada menjadi sasaran syarikat tembakau kepada kumpulan itu menjadi perokok.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah kes yang tinggi menghadapi komplikasi penyakit kritikal akibat merokok adalah mereka terdiri daripada golongan B40.

“Majoriti jumlah daripada rakyat kita yang mengalami komplikasi daripada merokok seperti sakit jantung, kanser, penyakit baru-baru adalah B40.

“Ini kerana mereka la menjadi kumpulan sasaran syarikat-syarikat tembakau, sebenarnya RUU ini untuk melindungi kumpulan ini daripada syarikat pembunuh ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Portal KKMNow di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairy juga turut mengulas serahan memorandum yang dibuat oleh sebuah kumpulan NGO di depan bangunan Parlimen hari ini bagi membantah pelaksanaan RUU GEG bahawa terdapat kemungkinan kumpulan terbabit ditaja oleh syarikat-syarikat tembakau bagi menjayakan kempen penolakan mereka.

“Saya difahamkan memorandum ini disampaikan oleh seseorang yang mewakili satu kumpulan atau organisasi termasuk ada berita menyatakan organisasi ini ditaja oleh syarikat tembakau. Jadi kita kena bebaskan dari konflik berkepentingan ini,” jelasnya lagi.

Author

Pilihan Editor