PUTRAJAYA: Pembentangan Bajet 2023 sah diteruskan hari ini.
Perkara itu berikutan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilihat meninggalkan bangunan Kementerian Kewangan sekitar jam 2 petang tadi untuk menuju ke Parlimen bagi pembentangan Bajet 2023.
Sebelum ini terdapat khabar angin menyatakan kemungkinan belanjawan ini tidak sempat dibentangkan dan diluluskan susulan akan berlakunya pembubaran Parlimen.
Zafrul sempat dirakam pihak media meninggalkan bangunan dengan berpakaian baju Melayu warna biru turquoise sambil memegang beg sampul hitam disaluti tenunan perak yang mengandungi teks ucapan Bajet 2023.
Terdahulu, Zafrul dilaporkan berkata, Belanjawan 2023 akan berfokus kepada Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan, Kemakmuran Ekonomi dan Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan.
Ini merupakan kali ketiga Tengku Zafrul menjadi pembentang selepas membentangkan Bajet 2021 dan Bajet 2022.