SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata tiada permohonan rasmi dibuat untuk penggunaan fasiliti, bagi program Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Selangor yang diadakan di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam hari ini.
Amirudin berkata, beliau telah menyemak dengan agensi negeri, ekoran dakwaan kerajaan negeri menghalang penggunaan fasiliti bagi program karnival anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu, dan mendapati hanya panggilan telefon dibuat pada Jumaat lepas, serta telah diingatkan untuk membuat permohonan rasmi.
“Sehingga hari berlangsung program mereka tidak kembali membuat permohonan bertulis,” katanya menerusi ciapannya di akaun Twitter, bahawa permohonan bertulis adalah penting kerana perincian mengenai program tersebut diperlukan memandangkan fasiliti terbabit telah diwartakan sebagai tempat penamaan calon.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika berucap merasmikan program berkenaan hari ini berkata beliau difahamkan penganjuran karnival sehari itu berdepan kesukaran, kerana kerajaan Selangor tidak bersetuju membenarkan penggunaan tapak karnival itu di Dataran Eco Grandeur.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar ketika ditemui media pada program karnival itu mendakwa, majlis tersebut cuba dihalang oleh kerajaan negeri namun program tersebut dapat dianjurkan kerana diadakan di tanah persendirian. – BERNAMA