HomeGaya HidupUltraman sabung nyawa demi sesuap nasi pasca pandemik

Ultraman sabung nyawa demi sesuap nasi pasca pandemik

BANGI: Persimpangan lampu isyarat menjadi medan bersabung nyawa mendapatkan punca rezeki bagi seorang penjual mangga asam boi yang mengenakan kostum adiwira, Ultraman.

Ia adalah kaedah untuk menarik perhatian pemandu atau penunggang kereta tatkala lampu merah memberi ruang untuknya mendapat rezeki RM10 bagi sebekas buah mangga asam boi.

Sering bertukar kostum adiwira, Ahmad Berlian Mazlan pada asalnya hanya sebagai penghibur jalanan kanak-kanak.

Bagaimanapun dengan kos sara hidup tinggi dan ketidakstabilan politik menjadi punca golongan sepertinya terpaksa memikirkan cara kreatif untuk menambah rezeki.

Dia kini menjual mangga asam boi sambil berhibur memakai kostum di persimpangan lampu isyarat.

“Ada yang sambil membeli ambil gambar, ada yang lambai.

“Kadang kala bertukar kostum ala Superman, atau Spiderman atau Ultraman, budak-budak suka, mereka akan panggil Superman.

“Saya terpaksa cari rezeki seperti ini hendak mohon lesen berniaga susah, nak dapatkan tapak niaga susah sejak Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan adalah lantikan politik,” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI.

Ahmad Berlian berkata, hasil jualan produk itu boleh mencecah RM60 sehari, dan pada hari minggu RM100 bersih.

Katanya, perniagaan itu dijalankan bersama 12 lagi rakan kongsi, dari Seremban dan akan ditempatkan di tiga lokasi di sekitar Bangi seawal jam 10 pagi sehingga jam 7 petang.

“Sebelum ini biasa warga asing berniaga, dihalau, tapi bila tengok orang kita (warganegara) dia bagi berniaga,” katanya.

Trend penjualan sebegini pernah dilarang pihak berkuasa bawah pentadbiran PH di Negeri Sembilan dan Terengganu.

Sewajarnya wakil rakyat ada timbang rasa mengutamakan ekonomi rakyat tempatan terlebih dahulu seiring membangunkan ekonomi negara bukannya mementingkan kuasa sahaja.

Author

Pilihan Editor