ANKARA: Pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen menjuarai Grand Prix Formula Satu (F1) Jepun pada Ahad sekali gus dinobatkan juara dunia Formula One 2022.
Pemandu kelahiran Belanda itu memenangi perlumbaan dengan catatan masa 3 jam 1 minit 44.004 saat selepas menamatkan 28 pusingan di Litar Antarabangsa Suzuka, lapor Agensi Anadolu.
“Ia tahun yang istimewa dan perlu dikenang kerana perkara seperti ini tidak selalu berulang,” kata Verstappen.
Pemandu Red Bull, Sergio Perez menduduki tempat kedua dengan perbezaan 27.066 saat manakala pemandu Ferrari, Charles Leclerc menamatkan saingan di kedudukan ketiga.
Verstappen mendahului kedudukan dengan 366 mata manakala Leclerc di tempat kedua dan Perez di tempat ketiga, kedua-duanya berkongsi 249 mata.
Untuk senarai pasukan pula, Red Bull mendahului carta dengan 619 mata, Ferrari di tempat kedua dengan 454 mata dan Mercedes ketiga (387 mata).
Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Amerika Syarikat pada 23 Oktober. – BERNAMA