KUALA LUMPUR: World Gourmet menyasarkan untuk membantu penggiat industri makanan dan minuman (F&B) negara memulihkan atau memulakan semula perniagaan mereka susulan pandemik COVID-19.
Presiden pertubuhan itu, Peggy Chong berkata, ia akan dilakukan menerusi penganjuran acara rangkaian perniagaan, ceramah industri, pameran dan bengkel.
“Kami menjemput mereka (pemain industri F&B) sebagai vendor di acara-acara ini demi memberi manfaat kepada perniagaan, pelanggan dan komuniti mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata World Gourmet turut menerokai pasaran dalam talian dan platform e-dagang menerusi kerjasama dengan pemain industri seperti Alpha Fintech yang memudahkan peniaga F&B mempercepatkan pemulihan industri itu.
Chong berkata inisiatif World Gourmet turut disokong chef bertaraf dunia antaranya Datuk Dr. Redzuawan Ismail yang lebih dikenali sebagai Chef Wan, Chef Diraja Brunei Master Chef Chin See Sing, Presiden Persatuan Chef Sedunia Master Chef Thomas A. Gugler dan chef selebriti Master Chef Ammar Al Ali.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Yusof dalam kenyataan sama memuji usaha World Gourmet yang menjadi medium untuk sektor F&B negara memperkenalkan syarikat mereka pada skala global untuk meningkatkan perniagaan terutama semasa fasa pemulihan negara.
Katanya sektor perkhidmatan termasuk F&B, pemborongan, peruncitan dan penginapan menyumbang RM473 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini.
Menurut kenyataan itu, Azman telah merasmikan Anugerah World Top Gourmet 2022 di sebuah hotel di sini semalam yang diadakan bagi meraikan pemulihan sektor hospitaliti dan F&B negara. – BERNAMA