HomeBeritaPolitikAhli-ahli Parlimen BN 'langgar' titah mengadap Agong, sukarkan proses demokrasi

Ahli-ahli Parlimen BN ‘langgar’ titah mengadap Agong, sukarkan proses demokrasi

KUALA LUMPUR: Ahli- ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) gagal hadir atas titah mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan 30 MP BN untuk mengadap baginda di Istana Negara hari ini.

Dalam satu kenyataan kelmarin, 22 November 2022, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, sesi mengadap secara individu itu dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi ini.

Proses ini bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Baginda juga meminta dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri ke-10 selesai.

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terus memberi maklum balas mahu menangguhkan titah Agong berkenaan, tiada keputusan penangguhan dari Istana Negara.

Namun apa yang berlaku hari ini, hanya tiga pemimpin kanan BN yang hadir pada jam 10.40 pagi iaitu Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohammad Hasan; serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Dua calon BN yang menang di Parlimen masing-masing datang menghadap dipercayai dengan SD yang ditandatangani sebelum PRU15 namun dikatakan 10 MP telah menarik balik SD berkenaan.

Menjunjung tinggi kedaulatan Raja Berpelembagaan, seeloknya hadir menghadap, mungkin peluang untuk meluahkan ketidakpuasan di hati.

Rakyat menilai sikap calon yang menang, belum masuk Parlimen sudah menunjukkan sikap penentangan.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, apabila mereka tidak hadir ia menyukarkan urusan proses demokrasi.

“Walaupun mereka minta penangguhan namun bergantung budi bicara Agong, kita belum terima keputusan Istana Negara tetapi mereka tidak datang.

“Seeloknya datanglah menjunjung titah Agong, apabila Agong suruh datang datanglah sebab itu sebahagian demokrasi.

“Apabila tak laksanakannya, ia menjurus kepada derhaka kerana menyusahkan proses demokrasi tidak berlaku,”  katanya kepada MEDIA VARIASI.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan mempersoalkan sikap wakil rakyat yang dipilih rakyat apabila awal-awal sudah lupa adab dengan Raja.

Datuk Nadzim Johan

“Permudahkan urusan bukan sukarkan, jika tidak puas hati dengan mana-mana individu sewajarnya tidak meletakkan titah Agong di belakang.

“Tiada alasan untuk menolak titah Agong, jika kena COVID-19 sekalipun hantarlah sijil sakit, kalau rakyat penjawat awam sakit bukan main lagi tuntut MC,” katanya.

Pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) dan wakil pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat telah meninggalkan Istana Negara pada jam 11.30 pagi setelah selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, GPS pula terdiri daripada Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tiba di Pintu 2 Istana Negara pada jam 11 pagi dan meninggalkan Istana Negara pada jam 11:56 pagi.

Semua pemimpin tersebut sama ada BN dan GPS tidak memberhentikan kenderaan serta memberi sebarang kenyataan kepada media.

Author

Pilihan Editor