KUALA LUMPUR: Desakan supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan segera susulan prestasi hambar gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semakin jelas kedengaran.
Beberapa pemimpin dalam UMNO mahu Ahmad Zahid bertanggungjawab atas kegagalan gabungan itu dalam PRU15 dan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan seperti yang telah dilakukan oleh bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2018.
Bekas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Timbalan Pengerusi BN Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, antara yang lantang mendesak bekas timbalan perdana menteri itu, berundur secara terhormat.
Halimah dalam kenyataan di Instagramnya berkata, UMNO tidak mampu dan tidak boleh lagi menanggung segala liabiliti individu di dalam parti yang hanya meletakkan kepentingan peribadi.
“Jangan cemarkan lagi kesucian parti UMNO dengan pemikiran yang dangkal tidak berasas dan tidak berprinsip hanya untuk kepentingan peribadi.
“Pulangkan perjuangan UMNO kepada niat asal. Perjuangan dan keutamaan parti tertumpu kepada suara akar umbi yang mendambakan sebuah institusi yang berupaya membawa suara dan nasib rakyat terbanyak,” katanya.
Shahril dalam kenyataan di Facebooknya berkata, konsep tanggungjawab secara kolektif, perlu dipegang oleh pemimpin-pemimpin UMNO dalam menghadapi kegagalan yang mana Ahmad Zahid perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan itu.
Beliau berkata, Ahmad Zahid perlu memberi ruang secukupnya kepada pemimpin lain dalam parti itu, untuk membuat keputusan yang besar untuk UMNO.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, Ahmad Zahid perlu berjiwa besar melepaskan jawatannya seperti yang dilakukan oleh Najib.
“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku yang mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.
“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka ketika PRU15 semalam,” katanya menambah UMNO dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor dan kalah di semua kerusi parlimen yang ditandingi di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu.
Mohd Jafni dalam kenyataan medianya hari ini berkata, kekalahan gabungan itu dalam PRU15 menggambarkan BN dan UMNO tidak lagi menjadi pilihan rakyat di negara ini.
Beliau menyifatkan tindakan (meletak jawatan) Ahmad Zahid, sebagai langkah awal dalam usaha memulihkan UMNO.
Muhamad Muqharabbin berkata, sentimen rakyat tidak suka kepada presiden, telahpun diterjemahkan melalui undi.
“BN kecundang kerana keangkuhan dan kesombongan dengan berjalan solo dan tidak mahu berubah serta mendengar pandangan akar umbi dan rakyat. Ini yang sebenarnya menjadi kelemahan.
“Seratus batang lidi lebih kuat berbanding sebatang lidi kerana 100 batang lidi mampu menyapu sampah dengan berkesan berbanding sebatang.
“Oleh yang demikian, wajarlah Presiden parti, DS Ahmad Zahid Hamidi berundur dan pemilihan parti perlu diadakan segera bagi memberi mandat baru kepimpinan UMNO membuat perubahan yang sebenar-benarnya,” katanya.
PRU15 yang diadakan semalam menyaksikan BN mencatat prestasi terburuknya apabila hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen daripada 178 kerusi yang ditandingi wakil gabungan itu.
Ia jauh lebih teruk berbanding PRU14 apabila dalam pilihan raya yang diadakan pada 2018 itu menyaksikan gabungan itu menang di 54 kerusi Parlimen.
Sementara itu, beberapa Ketua Bahagian UMNO di Johor, menyuarakan sokongan terhadap kenyataan Onn Hafiz supaya Zahid bertanggungjawab terhadap prestasi buruk BN pada PRU15 ini dengan meletakkan jawatan.
Ketua Bahagian UMNO Pagoh, Ismail Mohamed berkata, presiden UMNO itu perlu berlapang dada dan meletak jawatan, demi kepentingan dan masa depan parti itu kerana keputusan PRU15 jelas menunjukkan akar umbi khususnya orang muda, mahukan perubahan pada pucuk pimpinan parti itu.
Senada dengan Ismail, Ketua UMNO Bahagian Sekijang, Datuk Dr Baharum Mohamed pula mahu bukan sahaja Ahmad Zahid tetapi juga ‘Top 5 UMNO’, yang turut terlibat dengan pemilihan calon BN pada pilihan raya umum kali ini.
Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip berkata, selain bersetuju dengan desakan Onn Hafiz, beliau juga menunggu kenyataan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Pengerusi BN Johor berkenaan isu itu. – BERNAMA