KUALA LUMPUR: Meskipun Malaysia mempunyai simpanan air bumi atau air bawah tanah anggaran sekitar 5,000 bilion meter padu, menurut jurnal sains antarabangsa, Geosciences, penggunaannya masih rendah iaitu hanya tiga peratus.
Setakat ini, beberapa buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak menggunakannya sebagai sumber air minuman. Di Kelantan umpamanya, telaga tiub digali untuk membolehkan penduduk kampung memperolehi bekalan air bersih.
Air bumi adalah salah satu sumber air yang amat berharga, terdapat dalam ruang serta retakan dalam tanah, pasir serta batu di bawah permukaan bumi dan pembentukan geologi ini dipanggil akuifer.
Terdapat dua kategori air bumi iaitu akuifer cetek (kurang daripada 200 meter dalam bawah tanah) dan akuifer dalam (lebih daripada 200 meter) dan lazimnya kualitinya lebih baik.
TEROKA POTENSI
Kurangnya penggunaan air bumi di Malaysia sebenarnya membolehkan negara menyimpan sumber air ini untuk keperluan kegunaan pada masa hadapan. Untuk itu, langkah perlu diambil untuk memastikan sumber air yang berpotensi tinggi ini dijaga untuk mengelakkan pencemaran yang mungkin membatasi penggunaannya.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia, Koo Zao Cheong berkata, sebab utama mengapa penggunaan air bumi masih kurang di Malaysia adalah kerana negara ini mempunyai banyak air permukaan, yang lebih mudah diakses untuk kegunaan harian.
Menurut beliau, kerja mengesan serta mengeluarkan air bumi adalah juga lebih rumit kerana kriteria hidrogeologi yang berlainan, yang memerlukan teknologi yang lebih maju, lebih ramai pekerja serta kos yang tinggi bagi menjamin kualiti serta penggunaan air bawah tanah yang mampan.
“Memandangkan bekalan air permukaan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan penggunaan air negara pada masa ini, tidak ada keperluan mendesak untuk air bawah tanah tetapi ia masih sumber air berpotensi tinggi pada masa depan.
“Meskipun penggunaan air bumi di negara ini belum begitu ketara pada masa ini, namun adalah penting untuk rakyat Malaysia diberi kesedaran tentang perkara ini sebagai usaha untuk memelihara sumber air berkenaan memandangkan ia juga penting untuk ekonomi dalam bidang pertanian, industri makanan, pengairan dan banyak lagi,” kata beliau kepada Bernama, ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau menambah, air bumi di dalam akuifer adalah sumber air yang tiada tandingannya kerana ia memelihara alam sekitar dan menambah sumber air permukaan yang membekalkan kepada keperluan air di rumah-rumah.
“Hampir semua cecair air bersih di dunia adalah air bawah tanah dan ia amat berharga kepada manusia dan alam sekitar. Sekiranya kita tidak bertindak untuk memelihara air bawah tanah ini daripada pencemaran air, daya maju akuifer mungkin terancam dan mencetuskan masalah dalam pelbagai sektor umpamanya kesihatan awam, ” katanya.
KAJI STRUKTUR
Sementara itu, Prof Datuk Dr Nor Azazi Zakaria, Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Pengairan Bandar, Universiti Sains Malaysia (USM) menjelaskan, apabila sungai tercemar akibat kegiatan manusia atau bencana alam, masyarakat menjadi cemas sedangkan negara kita mempunyai banyak alternatif lain bekalan air.
Sebagai contoh,di samping air bumi atau air bawah tanah, terdapat takungan pantai, sistem penuaian air hujan, Penjanaan Air Atmosfera, penyahgaraman air laut dan sistem Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS).
Menurut beliau, kebanyakan alternatif air itu belum lagi digunakan secara meluas.
Dalam menggunakan alternatif air itu, beliau berkata, adalah wajar untuk pihak berkuasa mula meneroka sumber air bawah tanah yang mempunyai banyak potensi.
“Bagaimanapun, satu kajian terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang penerokaan sumber air bawah tanah bagi mengelakkan pencemaran.
“Bagi meneroka air bumi atau air bawah tanah di dalam akuifer batu, kita perlu melakukan kajian mendalam mengenai geometri (bentuk dan saiz) akuifer, jumlah kandungan air di dalamnya, kualiti dan kemampuan membekalkan air.
“Ini kerana air bawah tanah dalam akuifer batu berbeza dengan air permukaan dan air bawah tanah yang hampir kepada permukaan. Untuk itu, penerokaan seumpama itu perlu dilakukan secara cekap dan dipantau pihak berkuasa berkenaan. Ini bagi mengelakkan timbul isu seperti pemendapan tanah apabila air bawah tanah diambil secara berlebihan pada satu-satu masa tertentu,” katanya.
Beliau menambah, bukan semua batu boleh berada dalam akuifer atau tempat penyimpanan air bawah tanah. Ini berkait rapat dengan jenis, tekstur serta struktur batu dan jenis aliran air yang mengalir di bawah permukaan.
Oleh yang demikian, ia memerlukan kemahiran ahli geologi dan ahli geohidro untuk mencari dan meneroka sumber air ini, sementara ahli geologi dan ahli geofizik menyumbang pengetahuan dan kemahiran untuk menentukan lokasi sumber air bawah tanah.
Menurut beliau, ahli geosains dalam bidang sistem maklumat geografi (GIS) boleh menggunakan imej satelit dan foto udara untuk mencari zon berpotensi yang mengandungi sumber air bumi atau air bawah tanah.
MENGOPTIMUM SUMBER AIR
Dalam ketika usaha untuk menggunakan sumber air bawah tanah perlu diperluaskan supaya ia boleh menjadi sumber alternatif air negara, Nor Azazi bagaimanapun berkata, perkara paling penting adalah untuk mengoptimumkan penggunaan air permukaan sebanyak mungkin.
Beliau menegaskan, ini kerana, sekiranya air bawah tanah digunakan, kualiti air perlu dirawat seperti mana air permukaan tetapi kos rawatan air bawah tanah boleh menjadi lebih tinggi sekiranya terdapat kandungan logam berat.
Ini kerana, sekiranya terdapat kandungan logam berat seperti Ferum (besi) dalam air bawah tanah yang dipam, ini akan memberi kesan kepada “kekerasan” di dalam partikel air. Sekiranya ini berlaku, kos rawatan air akan meningkat dan kos pembinaan loji rawatan air turut meningkat.
“Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan supaya diwujudkan undang-undang di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya skim perumahan baharu boleh melaksanakan sistem penuaian air hujan (SPAH). Sebagai tambahan, sistem paip berkembar untuk air yang boleh diminum dan air tdak boleh diminum perlu ditekankan dalam kegunaan domestik.
“Sebagai contoh, pengunaan air tidak boleh diminum untuk kegunaan seperti mencuci kereta, menyiram pokok bunga, mencuci lantai dan lain-lain. Tidak perlu membazirkan air yang dirawat. Penggunaan air permukaan perlu ditekankan sebelum kita bercakap mengenai air bawah tanah (akuifer), ” katanya.
KURANGKAN BAHAYA
Mengenai pencemaran air bumi atau air bawah tanah, Cheong menzahirkan kebimbangannya akan tabiat harian masyarakat yang boleh mencemarkan sumber air berkenaan, yang akhirnya akan menyebabkan bekalannya berkurangan dan tidak dapat digantikan secara semula jadi dengan pantas.
Apabila akuifer kekeringan, ianya tidak akan dapat dipulihkan sebagai sumber air, sehingga bila-bila.
Bukan itu sahaja, masyarakat sering beranggapan sekiranya kandungan kimia lebih banyak di dalam air bumi atau air bawah tanah, ia adalah baik untuk alam sekitar tetapi sebenarnya anggapan itu adalah salah.
Beliau lalu mencadangkan beberapa cara untuk mengurangkan bahaya ke atas air bawah tanah seperti mengurangkan penggunaan kimia di dalam rumah atau menggunakan produk pencucian semula jadi, seboleh mungkin.
“Tanggapan lazim ialah lagi keras kimia yang digunakan di dalam bilik air, lagi bersih dan berkilat bilik air tetapi sebenarnya ia menjejaskan alam sekitar. Sebaliknya, cuba guna barangan rumah semula jadi seperti jus lemon, baking soda (serbuk penaik) dan cuka, kerana ramuan ini juga boleh menjadi bahan pencuci yang bagus. Bukan sahaja ia mesra alam tetapi juga kosnya murah.
“Untuk yang suka berkebun, cuba hadkan penggunaan racun serangga. Pilih hanya bahan terbiodegradasi bukan toksik yang tidak menjejaskan alam semula jadi,” katanya. – BERNAMA