HomeBeritaPolitikAnnuar Musa ‘Maharaja Hipokrit’ – Puad Zarkashi

Annuar Musa ‘Maharaja Hipokrit’ – Puad Zarkashi

 

CYBERJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa seorang ‘Maharaja Hipokrit’.

Katanya, Annuar lupa akan tindakan yang pernah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin lakukan terhadap UMNO sebelum ini.

Malahan, Puad turut mendakwa, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu lebih patuh dengan arahan Muhyiddin berbanding arahan parti.

“Memang Annuar hipokrit. Dia tuduh Anwar menguasai UMNO kerana terdapat ura-ura BN akan sertai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Dia lupa sejarah UMNO duduk dalam kerajaan Muhyiddin. Tidakkah Muhyiddin menguasai MP UMNO. Dia lantik Menteri UMNO tanpa peduli hirarki UMNO. Annuar jadi Menteri juga.

“Annuar patuh cakap Muhyiddin daripada cakap parti. Dia pertahankan keputusan Muhyiddin isytihar darurat dan gantung Parlimen. Mujur YDPA batalkan darurat,” tulisnya di Facebook hari ini.

Tambah Puad, Annuar berkomplot menentang keputusan Perhimpunan Agung dan cuba halang parti keluar dari kerajaan PN kerana mahu Muhyiddin kekal menjadi Perdana Menteri.

“Dia juga cuba halang Parlimen bubar awal sebelum pemilihan parti. Senanglah beliau dan kumpulannya menang pemilihan parti ketika mereka masih menjadi menteri.

“Naratif mereka sekarang ialah “No Anwar No DAP”. Padahal tular video Annuar yang kata, apa salahnya bekerjasama dengan DAP. Dia juga mempertahankan “MoU dengan DAP” bila Ismail Sabri jadi PM.

“Apakah itu bukan bersekongkol dengan DAP? DAP dapat peruntukan sama banyak dengan MP BN. Bahkan dia kata MOU itu tidak ada had masa. Kalau batalkan MOU itu, BN boleh disaman. Begitu sekali dia suka DAP,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakan Annuar yang menyalahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kekalahan BN pada PRU15 adalah tidak wajar.

“Dia salahkan Presiden. Apa kurangnya dia.

“Dia juga punca kekalahan. Tidak patuh keputusan parti adalah kesalahan besar. Annuar kena nafi, betulkah di malam terakhir wujud perundingan untuk dia jadi calon PN di Ketereh?” soalnya.

Author

Pilihan Editor