HomeMV+PendapatAntara menteri 'photo shoot' dan menteri kesejahteraan rakyat

Antara menteri ‘photo shoot’ dan menteri kesejahteraan rakyat

KENAPA apabila sebut sahaja nama Datuk Seri Rina Harun, yang spontan keluar dari mulut rakyat ialah menteri ‘photo shoot’ bukan Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat.

Rata-rata hanya memperkatakan mengenai kejayaannya menurunkan berat badan dan menjadi cantik untuk dirinya sahaja, tiada kisah kejayaan atau kehebatan dasar yang disebut-sebut rakyat.

Mereka hanya ingat puan menteri yang bajunya dan kasutnya tidak terkena lumpur sambil menggunakan ‘waterjet’ mencuci longkang dan koridor sekolah yang bersih ketika banjir besar tahun lalu.

Terdetik di hati penulis, kenapa rakyat tidak mengingati jasa-jasa semasa beliau menerajui kementeriannya, tiada satukah jasa Rina kepada rakyat yang diingati di dalam hati mereka?

Ini adalah pengalaman penulis sendiri ketika mendekati rakyat jauh dalam kampung, pinggir bandar dan di bandar, sebut sahaja nama Rina Harun pastinya ada sahaja rasa kekecewaan terbit di hati mereka.

Lebih mengecewakan, dalam kesibukan rakyat menuntut kembali kestabilan negara, tiba-tiba beliau umumkan perlantikan 45 individu terdiri daripada Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian dan Timbalan Pengarah agensi sebagai Gender Focal Point (GFP).

Walaupun timbul tanda tanya kenapa waktu ini diluluskan unit baharu, jawatan baharu? Berapa dana rakyat yang dibiayai untuk GFP ini?

Seterusnya penulis bertanya kepada penduduk di sebuah kampung kenapa hal ini berlaku?

Kata mereka, di manakah Rina ketika adik Daniel, remaja berusia 17 tahun yang dituduh mengalihkan tabung masjid yang diseksa mandi ala jenazah oleh pak imam satu ketika dahulu?

Sedangkan Daniel mengaku bahawa lahir daripada keluarga yang berpecah, ibu bapa bercerai kasih kerana kemiskinan, tinggal bersama datuknya sahaja yang juga miskin.

Tiada kelihatan Rina datang bertandang bertanya khabar, meluahkan rasa kasihan atau simpati nasib anak bawah umur itu yang terpaksa dipenjarakan seawal usia.

Seorang lagi penduduk yang lain mencelah, bertanya di mana Rina ketika seorang ibu miskin dipenjarakan kerana mencuri milo di Kuala Terengganu?

Dalam kekecohan itu hanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan barisan peguam segera turun ke Terengganu memberi bantuan kepadanya.

Begitulah juga penduduk lain bertanya di mana suara Rina ketika isu bekas isteri jutawan iaitu Emilia Hanafi yang dipenjarakan Syariah kerana isu teknikal bukan masuk penjara seperti penjenayah lain.

Di mana tiada seorang pun dari Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat bersuara, atau membantu dari segi moral atau sekurang-kurangnya datanglah bertanya khabar Emilia, mencari solusi bagi mencegah isu ini daripada berlaku kepada wanita lain di masa hadapan.

Hinggakan kes yang sama berulang kepada seorang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, juga seorang ibu yang dipenjarakan berkaitan tuntutan masa lawatan oleh bekas suami ketika anaknya alami pandemik.

Wanita berkenaan adalah seorang doktor dan sebaik dipenjarakan mengikut pekeliling, beliau tidak boleh lagi berkhidmat sebagai doktor sekaligus menimbulkan persoalan berapa ratus ribukah kerugian kepada negara hasil latihan dan kos-kos pengajian sebagai doktor, yang akhirnya ditamatkan?

Pendedahan isu pelajar cemerlang dari Sabah, Syarijana Jamil yang bimbang masa depannya kerana tiada MyKad, permohonan dibuat sejak 2018 tiada jawapan sedangkan kedua ibu bapanya memiliki MyKad. Di mana peranan kementerian untuk bersuara dalam isu anak ‘stateless’ ini?

Dalam isu sensitiviti agama membabitkan golongan wanita atau anak-anak di bawah Syariah, tiada satu program oleh kementerian pun untuk mereka kembali kepada masyarakat dengan alasan ia kes Syariah kita tidak campur.

Apabila isu-isu penindasan wanita dan anak-anak ada berkait dengan Syariah atau agama Rina mengeluarkan kenyataan enggan mengulas, enggan komen, bukan agensi kita.

Tidakkah beliau terfikir siapakah yang menjaga anak-anak apabila si ibu dipenjarakan Syariah? Apakah bentuk bantuan kepada anak-anak ini sepanjang tempoh ibu mereka dipenjarakan?

Penulis berpeluang menemuramah Emilia, menitis air matanya memberitahu hari pertama dia dipenjarakan anaknya baru hari pertama peperiksaan.

Beliau dipenjarakan satu sel dengan suspek bunuh dan edar dadah, sedangkan jenayah Emilia yang sebenar adalah kerana dia tidak cukup wang untuk membela nasibnya sebaik mungkin di mahkamah.

Dalam pemerhatian penulis, semua kes yang disebutkan di atas termasuk terkini isu pusat pemulihan tidak berdaftar yang melaksanakan kaedah penyeksaan untuk memulih diperjuangkan oleh media, oleh mangsa yang terbabit, oleh barisan peguam yang bersimpati dan oleh NGO.

Jika balik kepada sejarah, Tun Fatimah adalah lambang pengorbanan wanita Melayu dalam melawan penjajah.

Lihatlah pakaian Tun Fatimah bukannya berhias diri, tiada masa untuk jadi cantik kerana terlalu sibuk dengan urusan rakyat ke sana ke mari dan berhadapan sendiri dengan musuh negara, bukannya mengharapkan rakyat bekerja untuknya.

Tetapi semangat ini telah hilang dalam jati diri wanita hari ini, boleh dikira dengan jari yang mahu bersuara atau berjuang untuk yang lain.

Hilangnya Tun Fatimah dalam diri wanita Melayu hari ini, yang ramai hanyalah mencantikkan diri sendiri tetapi tiada usaha menjadikan orang lain cantik.

Jangan lupa walau sekecil-kecil usaha, tetap dinilai Tuhan, lebih baik daripada berdiam diri.

Apakah peranan kementerian wanita ini masih relevan?

Mungkin sudah perlu kementerian wanita diganti dengan kementerian lain yang lebih menyeluruh dan proaktif untuk bertindak balas terhadap isu kesejahteraan, kebajikan rakyat, keluarga, wanita, lelaki dan kanak-kanak.

Biar kita tidak diingati kerana cantik tetapi diingati kerana luhurnya budi, dari budi lahirnya kecantikan sebenar.

Author

Pilihan Editor