HomeBeritaPolitikAnwar beri jaminan, dua TPM bawah Kabinet baharu

Anwar beri jaminan, dua TPM bawah Kabinet baharu

KAJANG: Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa dua jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) akan diwujudkan bawah Kabinet yang diterajuinya dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyatakan kedua-dua jawatan TPM itu akan diisi oleh wakil masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Jawatan Timbalan Perdana Menteri itu, Perdana Menteri dari Pakatan Harapan, Timbalan Perdana Menteri dari komponen kuat yang lain, iaitu Barisan Nasional.

“Kepada Sabah dan Sarawak, yang terkuat antara Sabah dan Sarawak adalah GPS,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai perdana menteri di Sungai Long Golf & Country Club, Kajang, malam tadi.

Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan bahawa persidangan Parlimen ke-15, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan beliau akan diadakan pada 19 Disember ini.

Menurutnya, satu usul undi percaya akan dibentangkan pada sidang itu bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku Perdana Menteri.

“Usul pertama selain daripada angkat sumpah adalah usul dari kerajaan iaitu undi percaya. Jadi tidak timbul keresahan kita tentang keabsahan yang ada,” katanya.

Author

Pilihan Editor