KAJANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataannya bahawa PH mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan menerusi gabungan dengan parti lain.
Presiden PKR itu berkata, sekiranya persefahaman bersama parti yang akan bersama PH dicapai, perkara itu kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.
“Saya masih tegaskan pendirian saya bahawa kita sudah punyai majoriti dan mendapat sokongan dan saya yakin kita akan diberikan peluang untuk mentadbir negara.
Perubahan parti dan kestabilan negara, menyelamatkan dari unsur-unsur negatif bagi memulihkan negara, itu adalah tugas bersama,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan kediamannya di Sungai Long di sini malam tadi.
Bagaimanapun, Anwar enggan mendedahkan parti mana yang akan menyokong PH bagi membentuk kerajaan dan membiarkan parti-parti itu mengumumkan sendiri dalam masa terdekat ini.
“Sejak semalam lagi kita dah cukup (majoriti), biar parti-parti berkenaan mengumumkan dengan siapa mereka akan bergabung dalam masa terdekat ini sama ada malam ini (Ahad) ataupun esok (Isnin),” katanya.
Ditanya mengenai desas-desus bahawa beliau akan bertemu Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi bagi membuat rundingan gabungan membentuk kerajaan, Anwar menafikan khabar angin itu.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam, PH berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen, manakala Perikatan Nasional (PN) menang 73 kerusi, BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan (tiga) dan masing-masing satu kerusi daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang. – BERNAMA