HomeBeritaPolitikBaik Tun berehat di tikar sejadah dan muhasabah diri - Shamsul Iskandar

Baik Tun berehat di tikar sejadah dan muhasabah diri – Shamsul Iskandar

CYBERJAYA: Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar mengingatkan Pengerusi Pejuang, Tun Mahathir Mohamad bahawa beliau bertanggungjawab menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.

Calon PH Parlimen Bagan Datuk itu berkata, tindakan Mahathir memberi ruang kepada PN menghancurkan negara dengan BN apabila meletakkan jawatan Perdana Menteri tanpa mendapatkan pandangan Majlis Presiden PH ketika berlakunya Langkah Sheraton.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Mahathir bahawa jika BN menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), maka Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri kerana wujudnya rundingan rahsia di antaranya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Tuduhan semberono Tun juga dilihat penuh emosi kerana mungkin permohonan bekerjasama dengan PH ditolak mentah-mentah oleh Anwar, ditambah pula dengan jumlah kerusi jauh lebih banyak berbanding orang yang hadir dalam program parti Pejuang di Sabah menandakan penolakan jelas terhadap parti yang beliau tubuhkan.

“Menuduh semua orang salah dan gilakan kedudukan jawatan Perdana Menteri, Tun juga lupa bahawa selaku pemegang rekod Perdana Menteri paling lama di Malaysia, beliau juga merupakan satu-satunya individu yang menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali, dan masih belum puas kerana masih mencuba untuk kali ketiga.

“Ada baiknya Tun berehat di tikar sejadah dan muhasabah diri di hujung usia,” kata Shamsul dalam satu kenyataan pada Isnin.

Justeru, beliau menjamin semua orang menantikan Anwar turun berkempen bersamanya dan menggempur kubu kuat Zahid, Parlimen Bagan Datuk habis-habisan pada 16 November ini.

Katanya, ini akan menjawab tuduhan Mahathir sama ada benar atau tidak PH bekerjasama dengan BN.

Terdahulu, Mahathir mendakwa wujud kerjasama di antara Pengerusi PH, Anwar dengan Pengerusi BN, Zahid melalui maklumat yang diperolehinya.

Kata Mahathir, Anwar sudah berbincang dengan Zahid dan bekerjasama untuk memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri, kemudian memohon pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melepaskan Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara serta menggugurkan segala pertuduhan.

Selain itu, beliau menuduh selepas menjadi Perdana Menteri, Anwar akan berusaha untuk menggugur dan menghapuskan segala tuduhan mahkamah terhadap Zahid serta beberapa pemimpin BN lain sebagai balasan kerelaan Zahid menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

Author

Pilihan Editor