SHAH ALAM: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Selangor iaitu di Sekolah Rendah Agama (SRA) Meru, Klang, yang menempatkan lebih 200 mangsa.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaafar berkata keadaan banjir masih sama dan paras air meningkat apabila hujan.
“Setakat malam ini seramai 628 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru. Jumlah itu meningkat daripada lebih 400 sebelum ini.
“Keadaan di sini terkawal dan pihak bomba kerap melakukan pemantauan serta akan melakukan perpindahan berdasarkan keperluan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut laman web InfoBencanaJKM, setakat ini empat PPS telah dibuka di Selangor iaitu dua di Meru dan di SK Kampung Johan Setia, Klang serta PPS Masjid Al Falah Kampung Budiman, di sini yang masing-masing menempatkan 147 dan 32 mangsa. – BERNAMA