CYBERJAYA: Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) haram diterima rakyat kerana Ismail Sabri tidak mempunyai kuasa dan tidak halal memandangkan perbuatan itu sama sahaja seperti mencuri duit rakyat kata Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Perdana Menteri caretaker ketika ini tidak boleh meluluskan sebarang peruntukan kerana ia perlu mendapat kelulusan Parlimen.
“Bila ada Parlimen yang telah dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dia (Ismail Sabri) tak boleh buat apa-apa usul.
“Dia tak boleh belanja wang yang banyak kerana semua perbelanjaan dan semua usul mesti diluluskan dalam Parlimen, barulah wang tersebut jadi halal.
“Nampak sangat dia tak boleh tunggu kerana dia nak pengaruh, nak dapat undi maka dia ambil duit kerajaan berjumlah RM2.1 bilion nak bagi pada semua orang,” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Himpunan Pejuang Melaka di Taman Cempaka, Melaka, malam tadi.
Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan, bayaran BKM yang sepatutnya diterima rakyat Disember ini dipercepatkan sebagai persediaan bantuan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.
BKM Fasa 4 akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima secara berperingkat bermula esok dan dijangka selesai 18 November ini, iaitu sehari sebelum rakyat keluar mengundi PRU15.