HomeBeritaPolitikBN lebih digeruni sebagai pembangkang

BN lebih digeruni sebagai pembangkang

NAMPAK gayanya rakyat perlu biasakan diri melihat orang politik menyelesaikan dahulu isu mereka.

Terlajak kata badan binasa, sepanjang tempoh kempen bukan main lagi Perikatan Nasional (PN), PAS, Pakatan Harapan (PH) mengata Barisan Nasional (BN) parti ‘korup’, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kata-kata itu cuba dipadamkan demi pembentukan kerajaan campuran.

Memetik kata Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan menerusi hantaran Facebooknya, benar, tiada satu pakatan yang menang jelas 112. Tapi yang jelas, BN kalah.

“Sukar untuk merasionalkan kepada rakyat bagaimana satu parti yang kalah boleh ada dalam kerajaan sedangkan parti atau parti-parti yang dapat 70 atau 80 kerusi jadi pembangkang.

“Lain ceritanya kalau kita ada pakatan pra pilihanraya. Tapi tidak. Tiada ‘moral standing’ untuk kita terbabit dalam kerajaan.

“Kali ini, tiada pandemik atau perpecahan dalaman pihak yang menang pilihan raya yang menuntut kita menjadi ‘penyelemat’ apa-apa keadaan. Tiada hujah atau justifikasi ala Mac 2020.

“Menjadi sebahagian dari apa-apa kerajaan akan menjadi ‘bahan’ untuk lima tahun yang tak mungkin dapat kita tangkis.

“Ia akan membawa kepada asbab dan motivasi untuk memastikan BN dibenam lebih dalam pada PRU16.

“Pandangan saya, BN wajar duduk di blok pembangkang,” katanya.

Tambahnya, jika kemaslahatan lebih besar menuntut BN membantu mencukupkan angka 112 agar seorang Perdana Menteri dilantik secara sah mengikut Perlembagaan, maka ia mesti jelas bahawa.

“Kita pembangkang bukan Kerajaan. Kita ‘bantu’ hanya secara ‘teknikal’ supaya lantikan PM oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dapat dilaksanakan.

“Kita hanya bantu meluluskan ‘money bills’ terutamanya Belanjawan dengan syarat yang munasabah seperti pandangan kita diambil kira.

“Supaya kerajaan tidak ada risiko runtuh setiap tahun. Tapi kita bebas mengkritik dan main peranan sebagai pembangkang.

“Kalau atas apa-apa sebab kita tidak setuju dengan Belanjawan, boleh sahaja berkecuali, dan Belanjawan tetap lulus tanpa sokongan aktif BN.

“RUU lain, parti dan Ahli Parlimennya bebas menyokong atau membangkang mengikut kesesuaian dan keputusan parti. Kekalahan kerajaan meluluskan sesuatu RUU selain Belanjawan tidak semestinya meruntuhkan kerajaan. Perkara ini sudah lazim berlaku dalam sistem demokrasi lain,” katanya.

Menurutnya lagi, BN harus fokus kepada agenda pembaharuannya, muhasabahnya, agar dapat bangkit dari kekalahan gergasi ini.

“Bukan terganggu dengan menjadi sebahagian dari kerajaan dan kemudian perlu menjustifikasi pembabitan kita selama lima tahun.

“Kita ‘berperang’ dengan PH dan PN bukan dua minggu. Tapi lama dan serius. Sebelum PRU15 pun sudah tidak stabil dengan situasi dalaman kerajaan campuran.

“Maka untuk sekarang terus bersama dengan mana-mana pihak amat janggal. Mungkin untuk mereka kurang janggal kerana kalau kita terbabit, mereka akan jadi peneraju dan kita sekadar pelengkap.

“Tapi kita buat cara kita. Kita kena ada ‘kelas’. Kita kalah, mereka menang. Kita beri tumpuan kepada pembinaan semula parti ini,” katanya.

Shahril sebelum ini melepaskan jawatan Ketua Penerangan UMNO yang turut disandangnya selepas tewas dengan majoriti tipis 890 undi di tangan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam perebutan kerusi Parlimen Alor Gajah.

Dalam masa sama, Shahril turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menuntut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam PRU15.

Author

Pilihan Editor