HomeBeritaCalon BN Puchong tekad selesai isu penempatan peniaga pasar jika menang

Calon BN Puchong tekad selesai isu penempatan peniaga pasar jika menang

SERI KEMBANGAN: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader tekad menyelesaikan isu penempatan tapak perniagaan di kawasan Seri Kembangan sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Puchong pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini.

Jelas Syed Ibrahim, beliau mendapat pelbagai rungutan dari peniaga di sebuah pasar pagi di sekitar Seri Kembangan telah diminta untuk berpindah ke sebuah tapak pasar yang baru namun ruang penempatan di lokasi itu amat terhad menampung jumlah peniaga.

“Peniaga yang sudah lama berniaga di sini diminta untuk berpindah ke tapak pasar perniagaan yang lain, tetapi saya mendapati kawasan baru itu sangat kecil dan tidak sesuai. Tidak dapat menampung jumlah peniaga yang sudah berniaga sekian lama di Pasar Pagi Seri Kembangan ini.

“Peniaga mahu kekal berniaga di sini, jadi sekiranya saya menang, saya akan pastikan mereka terus berniaga di sini malah akan menaik taraf kemudahan yang peniaga di sini perlukan,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni peniaga di Pasar Pagi Seri Kembangan dalam siri kempennya pada hari ini.

Kata Syed Ibrahim, perkara pertama yang akan beliau laksanakan sekiranya dipilih pengundi Puchong pada Sabtu ini adalah membuka pusat Perkhidmatan Rakyat untuk memudahkan peniaga menyampaikan aduan bagi tindakan lanjut menyelesaikan isu ini seperti yang telah dikemukakan dalam manifesto.

“Sekiranya saya diberi peluang, saya akan menyelesaikan isu yang membabitkan peniaga ini. Seperti yang saya janjikan dalam manifesto saya, jika menang saya akan membuka sebuah Pusat Perkhidmatan, peniaga ini boleh salurkan aduan yang membabitkan kawasan berniaga mereka.

“Ini kerana kawasan yang terbesar di daerah Seri Kembangan adalah Kampung Baru Seri Kembangan yang padat dengan populasi penduduk. Jadi perlunya sebuah pusat perkhidmatan di sini untuk kita mendengar rintihan peniaga,” jelasnya.

Sementara itu, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ten, memberitahu MEDIA VARIASI, dia telah berusaha untuk mengadakan perbicangan dengan wakil rakyat kawasan itu sebelum ini namun tidak mendapat sebarang maklum balas bagi menyelasaikan isu ini.

“Saya telah mengusahakan perniagaan menjual makanan mi di pasar pagi ini selama 30 tahun, dan saya kalau boleh tidak mahu berpindah. Saya sudah cuba menghubungi wakil rakyat sebelum ini namun tidak dilayan. Satu mesyuarat pun tidak mahu dilakukan bersama kami peniaga di sini,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor