HomeBeritaCalon PH Padang Serai meninggal dunia

Calon PH Padang Serai meninggal dunia

 

CYBERJAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya disahkan meninggal dunia hari ini.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kali terakhir beliau menemui mendiang adalah pada 14 November lalu ketika ceramah di Kulim, Kedah.

“Dengan rasa penuh hiba dan dukacita saya memaklumkan bahawa saudara Karupaiya A/L Mutusami, mantan Ahli Parlimen Padang Serai merangkap calon Pakatan Harapan bagi P.017 Padang Serai telah meninggal dunia hari ini.

“Mendiang telah memberi ucapan ringkas dan sempat bersama menjulang tangan di akhir ucapan Pengerusi Pakatan Harapan.

“Mewakili seluruh keluarga besar PKR dan Pakatan Harapan, saya merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang. Pemergian mendiang satu kehilangan besar kepada parti dan perjuangan Reformasi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Saifuddin, mendiang banyak berjasa kepada rakyat khususnya bagi warga dan Cabang Padang Serai serta kepada Angkatan Tentera Malaysia terutama para veteran akan senantiasa dikenang.

“Mendiang meninggal dunia di dalam perjuangan menegakkan keadilan demi Malaysia yang lebih baik.

“Semangat ini akan diteruskan oleh para pejuang PKR dan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini,” tulisnya.

Untuk rekod, media tempatan melaporkan mendiang telahpun dimasukkan ke Hospital Kulim pada Isnin lalu, selepas mengalami pendarahan pada bahagian perut.

Author

Pilihan Editor