JOHOR BAHRU: Pernah mengendalikan kes bersama, kini dua sahabat peguam saling berentap untuk memenangi hati rakyat di Parlimen Tebrau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Begitupun, kedua-dua calon iaitu Mohamad Isa Mohamad Basiry dari parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Jimmy Puah Wee Tse dari Pakatan Harapan (PH) masih bersikap profesional dan bersahabat meskipun berbeza idealogi dan pandangan.
Menyifatkan pertembungan dengan sahabat lamanya itu sebagai ‘gentleman fight’ (saingan yang beradab), Jimmy Puah yang juga Timbalan Pengerusi PKR Johor menyerahkan kepada warga Tebrau untuk menentukan wakil rakyat yang diinginkan mereka.
“Isa adalah kawan lama, sebab dahulu kami dalam pasukan Biro Guaman PH, jadi beliau adalah orang yang sudah lama saya kenali, dan saya ucapkan selamat berjaya kepada beliau.
“Kita gentleman fight, saya tidak pernah serang dia secara peribadi pun, dia seorang peguam yang saya hormati, kita profesional dan tiada masalah. Bagi saya, kita sama-sama mempunyai visi sendiri dan apa yang boleh kita tawarkan kepada pengundi di Tebrau dan biarkan pengundi membuat keputusan, itu sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Jimmy Puah yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pelaburan dan Utiliti Negeri Johor itu bagaimanapun beranggapan bahawa Parlimen Tebrau bukan kerusi selamat buat PKR di Johor atas pelbagai faktor, namun optimis terus berjuang untuk menawan kerusi itu.
“Kita kena akui sekarang kita ada cabaran, kerana pengundi sudah lesu dan penat serta pandang rendah terhadap ahli politik. Terutama pengundi muda yang mungkin tidak berminat untuk mengundi, mungkin ada juga pengundi yang penat dengan apa yang berlaku di Malaysia (ketidakstabilan politik), maka ia adalah cabaran untuk menyakinkan mereka agar keluar mengundi,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Isa yang ditemui Bernama baru-baru ini juga berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk berhadapan dengan sahabat lama yang telah dikenali sejak 2005 itu, sebaik kembali ke Johor dan memulakan karier dalam bidang guaman.
“Kami bersama-sama dalam bidang guaman, malah ada juga bawa kes bersama-sama, jadi tiada masalah, tetapi saya pun tidak sangka akan berlawan dengan beliau dan beliau pun begitu juga,” kata bekas Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru itu, yang turut menganggap dirinya sebagai ‘underdog’ memandangkan kali pertama bertanding dalam PRU.
“Insya-Allah, saya percaya saya boleh capai kemenangan, tetapi saya anggap diri saya underdog dan melalui maklum balas yang saya dapat, rata-rata penduduk kenal Mohamad Isa, tetapi tidak kenal muka saya.
“Jadi saya harap, bila saya berjumpa dan santuni penduduk di Tebrau dan naikkan poster serta papan iklan, mereka dapat mengundi saya, kerana saya anak Tebrau, dan tahu apa yang orang Tebrau mahukan,” katanya.
Pada PRU15 ini, Jimmy Puah dan Mohamad Isa akan bersaing dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon Barisan Nasional Datuk Nicole Wong Siaw Ting di Parlimen Tebrau. – BERNAMA