HomeBeritaPolitikJangan pilih pemimpin 'hit and run', lepas menang terus ghaib

Jangan pilih pemimpin ‘hit and run’, lepas menang terus ghaib

LEMBAH PANTAI: Apabila ditanya apakah ciri pemimpin yang wajar dipilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti?

Rata-rata memberi jawapan senada iaitu, pilihlah pemimpin yang dekat dengan rakyat bukannya pemimpin yang ‘hit and run’ iaitu lepas menang terus ghaib.

Para pengundi berasa seolah kena ‘scam’ pula selepas memilih calon pilihan dan selepas beberapa lama, wajah pemimpin juga sudah hilang sebagaimana janji mereka.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani ketika ditanya soalan sama sebagai panduan pengundi, bakal pengundi dan pengundi muda, katanya ciri wajib yang perlu ada pada pemimpin adalah yang sentiasa turun padang.

“Walaupun Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU14, tetapi tanpa rasa putus asa atau kecewa, saya dan pemimpin lain tetap menjalankan tugas kami kepada rakyat.

“Bilik gerakan UMNO Lembah Pantai tidak pernah ditutup untuk terima kehadiran rakyat meluah cerita, mencari jalan apabila masalah menghimpit mereka.

“Daripada isu penempatan kerja, tempat tinggal, isu tiada lesen niaga, isu tiada tempat bersukan, tiada bantuan perubatan, zakat dan macam-macam lagi isu diselesaikan secepat mungkin.

“Rakyat nilailah sendiri, saya bukan pemimpin ‘hit and run’, lepas menang terus ghaib, saya tetap ada di sini menang atau kalah demi rakyat kerana agenda rakyat lebih utama,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Esok ditetapkan sebagai hari penamaan calon bagi semua parti politik bertanding pada PRU15 nanti, Ramlan dinamakan sebagai calon P121 Lembah Pantai bagi BN.

Dalam pada itu, Ramlan, 61, yakin dengan usaha dan khidmatnya sejak 1993 di kawasan itu akan dinilai dengan baik penduduk setempat.

Menggelarkan dirinya sebagai ‘KL Boy’, Ramlan mengakui beliau bukan individu asing di Lembah Pantai sekali gus mahu menyumbang bakti sebagai wakil rakyat sepanjang berkhidmat di kawasan itu.

Beliau turut menasihatkan mana-mana pemimpin yang jangan rasa kecewa tetapi tetap fokus pada perjuangan demi kestabilan negara dengan membantu rakan-rakan yang terpilih.

“Apabila kita sudah menang boleh mentadbir negara dalam suasana persaudaraan, pastinya tiada siapa akan melupakan jasa siapa yang ada bersama saat kita tiada apa-apa.

“Jangan kecewa, mungkin nama kita tiada tempat pada PRU15 tetapi nama kita tetap ada tempat di dalam hati rakyat dan yang penting usaha kita dinilaiNya,” katanya.

Ramlan akan bersaing dengan calon PKR mewakili Pakatan Harapan yang juga penyandang kerusi Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; calon Pas, Fauzi Abu Bakar dan Noor Asmah Mohd Razalli daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

Untuk rekod, pada PRU14, kerusi Lembah Pantai dimenangi Fahmi dengan majoriti 5,598 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Fauzi.

Fahmi mendapat 33,313 undi berbanding Raja Nong Chik (27,715 undi) dan Fauzi (5,277 undi).

 

Author

Pilihan Editor