BUAT PERTAMA KALINYA dalam sejarah di Tanah Melayu parti DAP memohon maaf kepada Kerajaan Persekutuan dan rakyat Sarawak.
Pemimpin DAP datang ke Sarawak bertemu pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), rakyat dan Kerajaan Persekutuan apabila parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu melakukan pelbagai perkara yang mengguris hati rakyat Sarawak, Melayu.
Akhirnya Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memohon maaf secara terbuka.
Permohonan maaf itu disuarakan selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang mewakili parti itu, menyampaikan permohonan maaf kepada kerajaan dan rakyat Sarawak, ketika bertemu dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kuching, hari ini.
Anthony sememangnya disenangi rakan dan lawan kerana sikapnya yang terbuka dalam menegur silap mana-mana parti termasuk dari partinya sendiri.
Dalam permohonan maaf Guan Eng menegaskan masa depan negara perlu menjadi keutamaan dan berharap dapat bersama-sama mengorak permulaan baharu dan berganding bahu demi kebaikan rakyat.
“Saya memohon maaf sekiranya sebarang kenyataan saya telah menyinggung Premier Sarawak dan kerajaan GPS Sarawak. Masa depan negara mendahului segala-galanya.
“Kita sama-sama mengorak permulaan baru untuk berganding bahu demi memelihara kemajmukan, keterangkuman serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan budaya dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Loke melakukan kunjungan hormat ke kediaman Abang Johari di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub di Petra Jaya Sarawak menzahirkan permohonan maaf, dalam pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra.
Permohonan maaf daripada DAP kepada GPS itu dibuat ketika spekulasi pembentukan kerajaan perpaduan semakin pasti menjadi kenyataan, selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, susulan kemelut pembentukan kerajaan yang berlanjutan sejak Ahad lalu.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan titah mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin Selasa lalu, namun ketika itu Muhyiddin menolak cadangan berkenaan.
Muhyiddin memaklumkan kepada baginda yang gabungan parti itu tidak mahu bekerjasama dengan PH, kerana itu menjadi prinsip gabungan terbabit sejak dulu.
Diselar rakyat kerana berlaku biadap dengan Agong apabila beliau mendakwa diminta menandatangani satu dokumen berhubung cadangan itu, namun beliau menulis nota menyatakan tidak bersetuju terhadap cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan di antara PN dan PH.
“Tuanku mencadangkan supaya kita (PN) bekerjasama dengan PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, tetapi kami telah bincang perkara itu sejak awal lagi kami tidak akan bekerjasama dengan PH. Itu adalah pendirian parti kita (PN) sejak dulu sampai ke hari ini,” katanya.
Agong kemudian meminta BN dan GPS untuk mempertimbang cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika bertemu wakil pimpinan dua gabungan itu.
Semalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO memuktamadkan keputusan menyokong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan seperti dizahirkan Agong, tetapi bukan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).
Penerimaan Agong terhadap SD yang sahih ditandatangani oleh 30 Ahli Parlimen BN yang menyokong apa-apa keputusan daripada MKT UMNO sebelum PRU15 sekaligus menolak 10 SD baharu dari MP BN yang dikatakan telah menandatangani untuk memilih Muhyiddin sebagai PM ke-10.
Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini menyifatkan PH lebih beradab kerana membuat pertemuan rasmi dengan kepimpinan BN untuk mengadakan perbincangan membentuk Kerajaan Persekutuan.
Beliau menyelar sikap PN yang ‘mencuri’ MP dari BN secara senyap-senyap dan menjadi punca perpecahan dalaman yang menuntut Presidennya lepaskan jawatan.
Ahmad Zahid dalam kenyataannya meminta semua bersabar jika mahu beliau turun dan tunggu pemilihan UMNO mengikut lunas Perlembagaan parti pada Disember yang tidak lama lagi.
PN kemudian buat pusingan U, bersikap hipokrit apabila Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Majlis Tertinggi PN mempertimbangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Namun, menjadi persoalan dalam kalangan rakyat adakah Anwar, rakan baiknya Ahmad Zahid mahu membawa masuk pihak yang dikatakan pengkhianat kepada sumpah janji parti dan kepada Raja sebelum membentuk Kerajaan Perpaduan?
PAS sebelum ini mengeluarkan kenyataan undi BN dan PH masuk api neraka dan rakyat masih terasa dan tidak akan lupa.
Mungkin jika benar mahu bersama atas nama perpaduan, turunkan keegoan masing-masing, PAS, PN mohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan Agong kerana jika silap akuilah silap, beritahu rakyat apa silap dan nasihati rakyat jangan ikut silap mereka.
Kebijaksanaan Agong dan Majlis Raja-raja yang dihadiri semua negeri kecuali Kelantan menunjukkan semua perlu berhenti menghukum, utamakan kestabilan pembangunan ekonomi rakyat dan negara, tiada siapa miliki kuasa yang lebih, seimbang dan adil.
PRU15 memberi banyak hikmah, perpecahan menjadikan kita lemah, pengkhianatan menghilangkan persahabatan dan hanya perpaduan bak ‘pulut kuning’ membuatkan kita kuat dan utuh!