HomeBeritaPolitikKembalikan penyatuan penduduk Puchong seperti zaman BN memerintah

Kembalikan penyatuan penduduk Puchong seperti zaman BN memerintah

SERI KEMBANGAN: Pencalonan Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader sebagai calon BN Parlimen Puchong bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi sinar harapan kepada pengundi.

Kehadiran pengundi dan penyokong BN yang ramai memeriahkan suasana Ceramah BN Puchong di Dataran Tasik Sri Serdang malam tadi, membuktikan mereka yakin dengan kepimpinan beliau.

Mereka yang juga merupakan penduduk setempat mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa Syed Ibrahim akan memenangi kawasan Parlimen Puchong dan membawa perubahan yang lebih baik kepada kawasan itu.

MEDIA VARIASI berkesempatan mendapatkan pandangan daripada beberapa penduduk setempat yang hadir ke ceramah memperkenalkan Syed Ibrahim sebagai calon BN itu, berkongsikan harapan dan luahan mereka.

“Harapan akak mestilah BN menang dekat sini, sebab selama akak duduk sini daripada kecil, daripada sekolah sampai sekarang, rasanya sudah beberapa penggal sahaja BN tidak pegang.

“Kita tidak pernah nampak wakil rakyat PH dekat sini, buat lawatan ke, tanya khabar penduduk dekat sini, tanya apa masalah penduduk dekat sini,” kata penduduk, Azuna Yuhainis.

Menurutnya, Pengerusi BN Parlimen Puchong, Datuk Satim Diman yang banyak mengambil berat berkenaan penduduk di situ.

Azuna juga sangat berharap pengundi-pengundi muda di situ memilih calon BN sebagai wakil rakyat demi kestabilan dan kemakmuran kawasan itu.

Azuna

Selain itu, katanya, aktiviti kemasyarakatan penduduk di situ sudah tidak harmoni seperti semasa BN memegang pentadbiran Parlimen Puchong dahulu.

“Kami dekat sini jarang ada aktiviti kemasyarakatan, macam dekat sini dulu masa BN pegang, kita macam satu keluarga walaupun bukan parti yang sama.

“Tetapi sekarang, sejak PH pegang, terbalik pula, macam kami tidak bersatu, kalau parti ini, parti ini sahaja yang datang, bukan macam kami yang dulu.

“Macam masa BN pegang, parti BN buat program, parti lain tetap datang. Sekarang terbalik, kalau BN buat, parti-parti lain tidak mahu datang pula. Biarlah rakyat kita bersatu semula, jadi ceria seperti dahulu,” katanya lagi penuh harapan.

Sementara itu, penduduk, Shah Mikhail Iqbal berharap apa yang dijanjikan dalam manifesto BN dapat dimanifestasikan oleh Syed Ibrahim di Puchong untuk kebaikan semua penduduk.

“Harapan saya senang, apa yang dikatakan Tok Aji (Syed Ibrahim), apa yang dia janjikan, dia tunaikan. Itu sahaja yang kita nak.

“Sebab selama tiga penggal saya di Puchong kita lihat wakil rakyat, Gobind Singh sebelum ini tidak betul-betul menunaikan apa yang dia janjikan di bawah manifesto PH sehinggakan dia pun sudah lari ke Damansara,” katanya.

Shah Mikhail

Shah juga berharap apabila Syed Ibrahim mengambil alih pentadbiran Parlimen Puchong selepas menang PRU15, khidmat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat dipertingkatkan kualitinya.

“Puchong ini adalah satu kawasan bandar, jadi dalam kawasan bandar ini kita ada PBT. Di bawah pimpinan PH, kita lihat PBT tidak bergerak dan bekerja.

“Oleh sebab itu kita mahu satu perubahan selepas 14 tahun di Puchong ini, kita mahu ubah segalanya, kita mahu PBT yang baharu, yang boleh bekerja dan berkhidmat kepada penduduk setempat.

“Sekarang ini kita lihat masalah sampah, jalan berlubang, semua ini sebenarnya adalah di bawah kuasa PBT,” jelasnya lagi.

Syed Ibrahim dalam ceramah tersebut pula sempat berkata kepada penduduk yang hadir bahawa beliau yang sekarang ini menetap di Seremban, Negeri Sembilan, akan menjadikan dirinya warga tetap Puchong jika beliau menang kerusi Parlimen Puchong dalam PRU15 ini.

Author

Pilihan Editor