HomeBeritaKepelbagaian kaum syarat utama pertandingan sukan- Halimah

Kepelbagaian kaum syarat utama pertandingan sukan- Halimah

BANGI: Kepelbagaian kaum sebagai syarat utama pertandingan sukan adalah perkara yang cukup baik untuk disokong dan ia perlu diteruskan sampai bila-bila.

Syarat utama ini dirai dalam pertandingan Futsal dan Bola Jaring Liga Sukan UNITI Keluarga Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, yang berlangsung di Uptown Sports, Bandar Baru Bangi, di sini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, syarat utama yang diletakkan bagi penyertaan dalam pertandingan ini adalah setiap pasukan perlu memenuhi kriteria kepelbagaian kaum.

“Nilai toleransi dan kebersamaan yang wujud dalam acara sukan seperti ini adalah tunjang utama dalam membentuk Keluarga Malaysia yang sejahtera dan harmoni.

“Objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk menyemai semangat kerjasama berpasukan dan mengukuhkan jalinan perpaduan Keluarga Malaysia melalui platform sukan,” katanya kepada media.

Terdahulu Halimah menghadiri program pertandingan anjuran bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bagi menyemarakkan lagi kemeriahan pertandingan.

Katanya, kolaborasi strategik antara KPN dan KBS antara usaha menyemarakkan lagi semangat perpaduan Keluarga Malaysia melalui sukan.

“Sukan adalah agen utama perpaduan masyarakat majmuk dalam negara dan medium seperti ini memberi ruang kepada kita untuk saling berinteraksi dalam suasana harmoni.” jelasnya.

Pada pertandingan itu, pihak kolej menerima penyertaan melebihi 12,000 peserta seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat usia.

Dua acara sukan yang dipertandingkan adalah futsal dan bola jaring.

Negeri Kedah berjaya dinobatkan Johan Futsal dengan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.00, trofi dan sijil.

Naib Johan dan tempat ketiga pula masing-masing disandang Melaka dan Johor.

Sabah pula menempa nama Johan Bola Jaring dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.00, trofi dan sijil.

Diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga bagi acara bola jaring.

Author

Pilihan Editor